Selesai segera sempadan lapangan minyak

- Advertisement -


KOTA BHARU: Kelantan berharap persempadanan 10 lapangan pengeluaran minyak dan gas dapat diselesaikan segera.

- Advertisement -


Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, 10 lapangan pengeluaran itu disebut menteri tidak mempunyai persempadanan perairan antara Kelantan, Terengganu dan Pahang.


“Kita minta semua pihak memberi kerjasama, itu yang paling penting. Kalau selesai cepat lagi baik, kalau lambat baik bahagikan dua hasil misalnya Kelantan separuh dan Terengganu separuh.
“Ada baik apa yang dipertikaikan sehingga isu ini selesai, bahagikan dua sebab tentu ada bahagian Kelantan dan Terengganu,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.


Pada persidangan parlimen baru-baru ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali berkata, hanya terdapat dua lapangan minyak di perairan Kelantan, manakala 10 lagi berada di kedudukan bertindih antara tiga negeri.


Menurutnya juga bayaran tunai royalti minyak oleh Petronas bagi 10 lapangan tersebut disalurkan ke akaun terimaan tidak diperuntukkan berjumlah hampir RM1.2 bilion untuk tempoh 2013 hingga 2019.


Mohd Amar turut merakam ucapan terima kasih di atas pengiktirafan kerajaan pusat terhadap dua lapangan minyak yang berada di perairan Kelantan.

- Advertisement -