Penstrukturan semula KWSP tiada manfaat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penstrukturan Semula Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal dilaksanakan oleh pihak KWSP tidak memberi manfaat kepada pencarum yang tercicir dan terdesak yang memerlukan pengeluaran kecemasan pada masa kini.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGRIM), Azmi Mohd Tahir, telah menerima banyak aduan keluhan dan keresahan daripada pencarum seluruh Malaysia berhubung perkara tersebut.

- Advertisement -

“Sehubungan dengan itu saya terpanggil untuk mengulas mengenai pelan penstrukturan akaun KWSP dimana saya mendapati ia tidak membantu pencarum yang terdesak dan tercicir ini keluar dari kesempitan hidup yang menekan mereka serta keluarga.

“Selepas beberapa kajian, saya mendapati perincian yang dinyatakan tidak wajar dan saya memohon kepada pihak KWSP untuk pertimbangkan semula,” katanya dalam suatu kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, rata-rata pencarum membantah keputusan ini kerana ia dilihat hanya membantu kepada pencarum yang tidak terkesan dan (sesuai bagi yang) mempunyai baki simpanan yang banyak di dalam Akaun 2.

Katanya lagi, perkara ini yang membolehkan mereka membuat pindahan ke dalam Akaun Fleksibel dalam jumlah yang besar dan dapat membuat pengeluaran bagi tujuan kegunaan yang mungkin bukan untuk keperluan tetapi kehendak.

“Bagaimana pula dengan pencarum yg benar-benar memerlukan pengeluaran untuk menampung kehidupan mereka yang tersepit di mana kebanyakkan mereka tidak lagi mempunyai baki yang banyak di dalam Akaun 2.

“Oleh kerana (mereka) telah dimanfaatkan bagi tujuan pengeluaran pelbagai seperti pendahuluan deposit rumah, pengurangan bayaran bulanan rumah, pengeluaran untuk anak bagi melanjutkan pelajaran dan kesihatan.

“Matlamat pihak KWSP menstrukturkan semula Akaun KWSP sebenarnya tujuan apa, mahu membantu pencarum yang terdesak atau membantu pencarum yang tidak terkesan?” tegasnya.

Justeru, Azmi mencadangkan kepada pihak KWSP agar Akaun 1 kekal dengan 70 peratus dan bagi Akaun Fleksibel hanya mengambil lima peratus sahaja daripada Akaun 2 dan kekalkan 25 peratus dalam akaun tersebut.

Katanya, Akaun 2 sangat penting kepada pencarum di masa hadapan.

“Saya juga mencadangkan pihak KWSP memberi kelonggaran daripada Akaun 1 untuk membenarkan pemindahan dilakukan mengikut formula 15 per 30 kepada pencarum yang mempunyai baki kurang RM3,000 dan ke bawah dan pencarum yang tidak mempunyai langsung baki di dalam Akaun 2.

“Perkara ini supaya kita dapat membantu meringankan beban mereka demi kelangsungan hidup dan berlaku adil kepada pencarum yang tercicir ini.

“Mohon pihak KWSP mempertimbangkan cadangan ini dan meluluskan demi kelangsungan hidup pencarum dan kebajikan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -