SPRM siasat anak MB Perlis: Tidak perlu terkejut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas pentadbiran kerajaan adalah perkara yang tidak perlu ‘diterkejutkan’, demikian kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

“Saya terkejut apabila salah seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyatakan bahawa dia terkejut apabila Kerajaan Perlis terkait dengan siasatan SPRM tidak sampai dua tahun Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negeri itu.

“Saya terkejut kenapa beliau boleh terkejut. Jika usia pentadbiran kerajaan menjadi kejutan, maka saya nak ingatkan kepada beberapa fakta,” ujarnya dipercayai merujuk reaksi Ahli MKT Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii kepada perkara itu.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyenaraikan kes siasatan SPRM, iaitu dua kes yang dijalankan ketika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 dan gabungan Kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) berkuasa masing-masing tidak sampai setahun dan dua tahun.

Kes pertama rujuknya, melibatkan Pegawai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang ditahan reman selama empat hari selepas didakwa menerima jam tangan mewah sebagai suapan daripada seorang pemaju ketika Kerajaan PH 1.0 berusia tidak sampai setahun.

Kes kedua kemukanya, ketika kerajaan sama berkuasa tidak sampai 2 tahun, Pegawai Kanan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dakwa menerima wang berjumlah RM800,000 daripada beberapa pihak.

Penerimaan itu menurut laporan dipetik Ahmad Fadhli, adalah untuk membantu menyelesaikan masalah hutang supaya nama pegawai tersebut dapat dikeluarkan daripada status muflis. 

Manakala ketika Kerajaan PH-BN mentadbir negara tidak sampai satu tahun imbasnya, Pegawai Kanan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar disiasat ekoran keterlibatan dalam isu pengeluaran permit pekerja asing. 

“Apa kesudahannya tidak diketahui, tetapi Sivakumar telah memecat 5 pegawainya ini sebelum dirinya sendiri dipecat oleh Perdana Menteri dalam rombakan kabinet. Jadi, saya terkejut kenapa beliau (Razlan) terkejut,” ujarnya.

Ahmad Fadhli juga secara sinis menyatakan, pemimpin Umno itu sepatutnya tidak terkejut kerana siasatan SPRM adalah perkara biasa terutama menjelang pilihan raya, di mana dalam kes ini, akan berlangsungnya PRK Kuala Kubu Bharu.

Sindirnya, bukanlah kerana pilihan raya SPRM menyiasat, tetapi hanyalah kebetulan sahaja sepertimana kebetulan ketika hampir PRN enam negeri tahun lalu, para pegawai Menteri Besar Kedah disiasat SPRM. 

“Kemudiannya, Perikatan Nasional menang besar di Kedah. Jadi, tidak perlulah terkejut. Ia hanya siasatan. Benar salah belum tentu lagi, bahkan jika pun didapati ada kes dan diperintah bela diri, masih belum tentu bersalah. 

“Ada kawan saya, terus bertuah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya ditarik balik kes walaupun sudah diperintah bela diri. Jadi, tak perlu terkejut. Simpanlah terkejut itu untuk perkara lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -