Sudah lama PAS, Umno rindukan penyatuan ini

- Advertisement -

TAMPIN: Pengerusi Umno Bahagian Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebagai titik permulaan kepada persefahaman baharu antara Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tampin berkata, kerjasama itu perlu diperkukuhkan bagi memastikan kemenangan gabungan berkenaan sekali gus merampas semula pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

- Advertisement -

“Dulu kita bersama dalam Muafakat Nasional. Walaupun jodoh kita tidak panjang, itu adalah ketentuan yang perlu kita terima. Hari ini kita perlu melihat ke hadapan demi agenda yang lebih besar,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Ceramah Kebangkitan Gelombang Biru BN-PN Parlimen Tampin yang dilangsung melibatkan kepimpinan kedua-dua gabungan, malam kelmarin.

Turut hadir Presiden WAWASAN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta kepimpinan PAS dan Umno Tampin.

Mohd Isam berkata, penyatuan orang Melayu dan Islam merupakan harapan ramai, namun hak semua kaum tetap akan dipelihara selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita bukan hanya memperjuangkan orang Melayu dan Islam, tetapi masyarakat India, Cina dan semua kaum. Apa yang kita perjuangkan adalah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, hubungan Umno dan PAS di Tampin sentiasa berada dalam keadaan baik dan kedua-dua pihak merindui semangat kerjasama yang pernah terjalin sebelum ini.

Menurutnya, penyatuan sokongan BN dan PN mampu memberikan kelebihan di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tampin termasuk Gemencheh, Repah dan Gemas.

Katanya, DUN Gemencheh yang mempunyai majoriti pengundi Melayu diyakini mampu dipertahankan sekiranya kerjasama kedua-dua parti diperkasakan.

“Kalau kebersamaan ini berlaku, insya-Allah kita tidak mempunyai masalah. Gemencheh akan kekal milik Barisan Nasional. Tetapi jangan leka, teruskan gerak kerja sehingga hari mengundi,” ujarnya.

Bagi DUN Repah pula, beliau yakin kerusi itu mampu dirampas sekiranya sokongan pengundi Melayu dapat disatukan menerusi kerjasama BN dan PN.

“Bila Melayu bersatu, insya Allah kita boleh merampas kembali kerusi ini,” katanya yang bagaimanapun mengakui mengenai DUN Gemas, pembahagian kerusi sebelum ini menimbulkan rasa kurang senang

Namun pihak jentera kata beliau, akhirnya menerima keputusan tersebut dan bersedia membantu calon PN dan mengarahkan seluruh jentera Umno dan BN di Gemas memperhebatkan gerak kerja bagi membantu calon, Rizwan Ahmad.

“Kita buat semua ini kerana mahu mengambil alih Kerajaan Negeri Sembilan bersama Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN). Jangan lagi ungkit perkara lama, teruskan perjuangan dan pastikan kemenangan menjadi milik kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026

- Advertisement -