
TAMPIN: Penyelaras WAWASAN Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin menyeru rakyat negeri itu supaya keluar mengundi beramai ramai pada 1 Ogos bagi mencipta perubahan politik dan menamatkan kemelut pentadbiran negeri.
Beliau berkata Negeri Sembilan kini berdepan pelbagai masalah menjejaskan kehidupan rakyat dan memerlukan sebuah gabungan kerajaan yang lebih stabil serta berkesan.
Menurutnya, gabungan PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang dibentuk mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai isu sedang membelenggu rakyat.
“Dalam sejarah Negeri Sembilan, kita ada Menteri Besar yang paling lemah zahir dan batin. Pengumuman demi pengumuman dibuat, tetapi rakyat bukan makan pengumuman atau angka.
“Rakyat hendak makan nasi, sedangkan kos sara hidup semakin meningkat, rakyat semakin susah dan harga minyak semakin mahal,” katanya berucap pada Ceramah Kebangkitan Gelombang Biru PN-BN Parlimen Tampin, di sini kelmarin.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Che’gu Bard berkata, pelbagai pengumuman pembangunan dibuat kerajaan negeri tidak menyelesaikan masalah sebenar dihadapi rakyat.
“Apa yang lebih penting ialah penyelesaian terhadap isu kehidupan harian dan pentadbiran negeri yang menurutnya semakin gagal diurus dengan baik,” katanya.
Mengulas situasi politik negeri, beliau berkata,rakyat tidak lagi mempunyai banyak pilihan selain melakukan perubahan melalui peti undi.
“Hanya ada satu jawapan. Rakyat Negeri Sembilan mesti keluar beramai-ramai dan pastikan mereka tidak lagi wujud dalam peta politik Negeri Sembilan,” katanya merujuk kepada Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata rungutan di media sosial, kedai kopi atau di tangga masjid tidak akan mengubah keadaan sekiranya rakyat tidak menterjemahkan protes mereka melalui undi.
“Protes sahaja tidak menyelesaikan masalah kerajaan. Penyelesaiannya berada di depan kita, iaitu keluar beramai ramai mengundi pada 1 Ogos,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya mengetepikan perbezaan dan ego politik demi kepentingan ummah.
“Selama ini kita sebut hidup Melayu, hidup Islam kerana kita menyembah Tuhan yang sama. Hari ini saya mengajak semua membuang ego dan kepentingan jemaah demi kepentingan ummah yang lebih besar,” ujarnya.
Che’gu Bard turut memaklumkan beliau tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kali ini berikutan keputusan mahkamah, namun reda dengan ketentuan tersebut dan menerima amanah sebagai Pengarah Pilihan Raya WAWASAN.
Che’gu Bard turut melahirkan keyakinan kemenangan besar di Negeri Sembilan akan membuka laluan kepada perubahan politik di peringkat Persekutuan.
“Insya Allah, kita akan melangkah masuk ke Dewan Undangan Negeri dengan dua pertiga majoriti. Barulah kita boleh membetulkan segala masalah yang ada.
“Saya percaya dan yakin, jika kita menang Negeri Sembilan, sebelum hujung tahun ini kita akan membentuk gabungan yang memerintah negara Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan mana mana pihak yang menurutnya hanya hadir untuk memecahkan undi.
“Mereka hanya hadir untuk memecahkan kesepaduan Melayu. Perjuangan kali ini adalah untuk membebaskan negara, menyatukan rakyat dan membentuk sebuah kerajaan yang stabil supaya suara rakyat benar benar didengar,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











