
KUALA LUMPUR: Isu kos sara hidup semakin meningkat, peluang pekerjaan yang mencabar, harga rumah sukar dimiliki serta masa depan graduan tidak menentu perlu menjadi pertimbangan utama rakyat, khususnya golongan anak muda.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azmer Syazwan Ahmad Suparmin sehubungan menyeru rakyat khususnya para pengundi dalam membuat pilihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Jelas beliau, pilihan raya bukan sekadar memilih seorang wakil rakyat, sebaliknya merupakan amanah besar dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
Menurut beliau, ketika berdepan PRN Negeri Sembilan, rakyat perlu melihat isu yang lebih besar serta realiti kehidupan sedang dihadapi, bukan hanya tertumpu kepada janji-janji kempen.
Pertimbangan itu katanya, perlu diterjemahkan melalui pilihan yang bijak di peti undi dengan mengutamakan kepentingan rakyat serta masa depan negeri.
“Kos sara hidup yang semakin meningkat, peluang pekerjaan yang mencabar, harga rumah yang sukar dimiliki serta masa depan graduan yang tidak menentu merupakan antara cabaran yang perlu diberikan perhatian.
“Anak muda bukan sekadar mahukan janji yang indah ketika musim kempen. Mereka mahukan peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti dan masa depan yang lebih baik.
“Sebab itu, suara anak muda perlu diterjemahkan melalui pilihan yang bijak di peti undi,” katanya mengingatkan rakyat turut memikul tanggungjawab untuk memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana yang matang dan beretika.
Menurutnya, setiap pengundi perlu memainkan peranan dengan menyebarkan maklumat yang benar, menolak fitnah serta mengajak ahli keluarga dan sahabat untuk keluar mengundi kerana kemenangan tidak datang dengan harapan semata-mata.
“Kemenangan tidak datang dengan harapan semata-mata, tetapi dengan usaha, pengorbanan dan doa,” katanya.
Dalam pada itu, Azmer Syazwan berkata, keunikan Adat Perpatih sebagai identiti Negeri Sembilan perlu terus dipelihara seiring dengan pegangan masyarakat Melayu yang berpaksikan ajaran Islam.
Menurutnya, masyarakat juga perlu menghormati institusi raja, memelihara perpaduan serta mengangkat nilai kekeluargaan dan musyawarah sebagai asas kehidupan bermasyarakat.
“Warisan ini perlu dipertahankan agar generasi akan datang tidak kehilangan jati diri sebagai bangsa Melayu yang beragama Islam dan hidup dalam masyarakat yang harmoni.
“Kita mungkin berbeza pandangan politik, tetapi kita tetap bersaudara sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak menjadikan kempen PRN Negeri Sembilan sebagai medan demokrasi yang sihat dengan mengamalkan politik berakhlak, saling menghormati dan menyuburkan budaya politik matang.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun 2026 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos 2026, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 28 Julai 2026. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











