
SEREMBAN: Penyatuan Ummah yang terjalin antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 menjadi mercu tanda serta pemangkin kepada penyatuan yang lebih besar di peringkat nasional.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, ia bukan muafakat politik biasa, sebaliknya satu amanah untuk mempertahankan maruah, hak, serta kedaulatan Melayu-Islam.
Beliau menjelaskan bahawa trend penurunan sokongan pengundi terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, semakin jelas kelihatan menerusi beberapa siri pilihan raya sebelum ini dan dijangka berterusan di Negeri Sembilan.
“Saya ingin menegaskan sokongan padu dan penuh keyakinan terhadap gagasan Penyatuan Ummah yang terjalin pada PRN ini. Realiti hari ini jelas menunjukkan kepimpinan PH, khususnya DAP, semakin gelisah dan tergugat dengan pembentukan gagasan ini.
“Trend penurunan sokongan kaum Cina yang ketara dalam PRN Sabah dan PRU Johor adalah bukti nyata bahawa benteng teras sokongan mereka sedang runtuh. Trend ini pasti berterusan, malah lebih ketara, di Negeri Sembilan,” katanya.
Suhu politik di Negeri Sembilan memuncak susulan pembentukan persefahaman dan kerjasama politik rasmi antara PN dan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan Ke-16.
Langkah pembentukan jajaran ini diambil bagi mengelakkan pertindihan kerusi majoriti Melayu serta menawarkan alternatif pentadbiran baharu kepada pengundi.
Model kerjasama PN-BN ini dilihat menjadi formula persefahaman baharu sebagai medan ujian penting sebelum mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mengulas mengenai sasaran pilihan raya, Muhammad Ismi menegaskan bahawa gabungan itu memiliki peluang di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
“Gagasan Penyatuan Ummah disasarkan untuk merampas sekurang-kurangnya 23 kerusi DUN, termasuk kerusi-kerusi majoriti Melayu yang pernah tewas kepada PH pada pilihan raya lalu.
“Bahkan, kubu kuat pemimpin PH sendiri seperti DUN Chennah yang mempunyai komposisi pengundi Melayu yang tinggi tidak lagi selamat daripada gelombang perubahan ini.
“Umat Islam wajib menghayati peringatan Allah SWT dalam Surah Al-Anfāl ayat 73, bahawa golongan yang memusuhi Islam saling berpakat sesama mereka dan sekiranya umat Islam gagal bersatu, maka fitnah dan kerosakan besar akan menimpa bumi ini.
“Justeru, perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu-Islam bukanlah pilihan yang mampu ditanggung lagi pada saat kritikal ini,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Parit.
Beliau turut menekankan bahawa keupayaan gagasan berkenaan disokong oleh barisan calon pelbagai latar belakang profesional dan keagamaan yang bersedia untuk mentadbir kerajaan.
“Kekuatan gagasan Penyatuan Ummah bukan sekadar retorik dan sentimen, tetapi disokong oleh barisan calon yang berwibawa, berpengalaman dan pelbagai latar belakang.
“Iaitu daripada asatizah lulusan Al-Azhar, bekas pegawai keselamatan korporat, veteran perkhidmatan agama, peguam profesional, hingga bekas pegawai kanan polis.
“Ini membuktikan gagasan ini bukan sahaja kuat dari sudut aqidah dan perjuangan, malah kukuh dari sudut kredibiliti dan kapasiti mentadbir. Gagasan ini juga demi menolak kepimpinan yang telah terbukti gagal mentadbir dan lemah menjaga kebajikan rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru para pengundi dan umat Islam di Negeri Sembilan agar memberikan sokongan padu menerusi kertas undi pada hari pembuangan undi kelak.
“Jadikan pengundian ini sebagai ibadah dan amanah untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Bulatkan tekad, padukan barisan dan tenggelamkan gelombang merah sepenuhnya di bumi Nismilan!
“Ummah Bersatu, Kuasa Terpelihara, Kemenangan Tercapai!” katanya yang juga dan Yang Dipertua PAS Kawasan Parit. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











