Dato’ Dr Rafie mahu sumbang kepakaran bantu PAS memimpin

- Advertisement -

SEREMBAN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) wajar diberi peluang untuk memimpin negeri dan negara berdasarkan kemampuan yang dimiliki parti itu, kata Dato’ Dr Mohamad Rafie Ab Malek.

“Saya melihat bahawa PAS sepatutnya diberi peluang untuk memimpin negeri dan juga memimpin negara. Saya berharap dengan kemasukan saya dalam PAS, saya juga boleh menyumbang.

- Advertisement -

“(Iaitu) ke arah itu untuk memastikan PAS boleh memimpin khususnya di negeri-negeri di Pantai Barat ini,” tekad Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan itu.

Mantan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika ditemui HarakahDaily di Surau Al-Fatihin, Taman Dusun Nyior, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohamad Rafie, perbincangan bersama kumpulan teknokrat turut menjadi antara aspek yang meyakinkan beliau terhadap kemampuan PAS mentadbir.

Beliau menjelaskan, PAS kini bukan hanya dianggotai golongan agamawan, malah turut mempunyai penyertaan daripada golongan profesional dan teknokrat.

“Saya yakin PAS mampu untuk memimpin. (Termasuk) mampu untuk mengurus, mampu untuk mentadbir negeri dan mampu juga mentadbir negara dengan baik,” katanya.

Keputusan sertai PAS

Calon nombor tiga itu menjelaskan, keputusan menyertai PAS dibuat selepas beliau melakukan penilaian terhadap pelbagai parti politik.

Mohamad Rafie yang sebelum ini pernah bersama PKR berkata, beliau memilih PAS kerana melihat parti itu mempunyai matlamat jelas serta barisan ahli yang mempunyai komitmen dalam perjuangan.

Menurut Doktor falsafah (PhD) bidang pendidikan dari Universiti Selangor itu, sebelum menyertai PAS, beliau terlebih dahulu menilai perjalanan politiknya selepas pernah menjadi antara individu yang mengasaskan PKR.

“Sebelum saya masuk PAS, saya telah membuat penilaian pelbagai. Saya daripada Pakatan Harapan, Parti Keadilan Rakyat yang mana saya salah seorang yang mengasaskan parti berkenaan.

“Setelah saya berada bersama dengan mereka, saya merasakan tidak sesuai kerana bagi saya kita perlu berprinsip. Kita berjanji, kita perlu tunaikan.

“Sebagai pemimpin kita perlu memastikan kemajuan untuk negara. Kita bukan hanya bercakap kosong, bukan hanya setakat berbangga dengan angka-angka.

“Tetapi (kita) perlu membuktikan kepada rakyat secara nyata bahawa kita boleh membawa kemajuan kepada negara. Jadi saya fikir mereka (PKR dan PH) gagal untuk berbuat demikian,” ujarnya.

Mohamad Rafie turut menegaskan, pemimpin perlu membuktikan kemampuan membawa perubahan kepada rakyat dan bukan sekadar mengemukakan kenyataan tanpa pelaksanaan.

Mengulas pilihan parti lain, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) khususnya Umno turut mempunyai sejarah panjang dalam politik negara, namun terdapat beberapa pertimbangan dibuat sebelum beliau memilih PAS.

Mohamad Rafie menjelaskan, beliau mengenali PAS sejak peringkat awal penglibatannya dalam politik apabila pernah bersama rakan-rakan dalam PAS sekitar 1999.

“Saya juga pernah bersama dengan rakan-rakan dalam PAS semasa peringkat awal, seawal tahun 1999 dan saya melihat PAS mempunyai matlamat yang jelas. Saya juga melihat bahawa ahli-ahli PAS mempunyai komitmen yang baik,” pujinya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026

- Advertisement -