Masalah pam dan air ancam tanaman padi, jejas pesawah

- Advertisement -

PARIT: Pesawah yang berdepan masalah kekurangan bekalan air akibat musim kemarau hingga mengancam pertumbuhan tanaman padi serta kelangsungan hidup mereka memerlukan perhatian daripada kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Dr Najihatussalehah Ahmad ketika mengadakan tinjauan mendapati banyak petak sawah di sebelah Bota, Lambor dan Titi Gantong yakni kawasan Perak Tengah mengalami kekeringan kritikal.

- Advertisement -

Beliau memberi amaran bahawa sekiranya masalah ini berterusan dalam tempoh dua minggu, kebajikan para pesawah berkenaan akan terjejas di mana masalah tersebut sepatutnya menjadi antara keutamaan kerajaan.

Kerana katanya, ia bukan sahaja menjejaskan hasil pengeluaran padi tempatan, malah memberi kesan langsung kepada pendapatan pesawah yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman tersebut.

“Selepas ke sawah belah Bota-Titi Gantong, saya pergi lihat sendiri Rumah Pam Kubang Haji yang menyalirkan air untuk Kawasan Bota- Titi Gantong. Saya melihat sendiri pam air yang tidak berfungsi dan tak dapat digunakan dengan baik kerana air sungai agak cetek.

“Minggu lepas ada juga media utama menyiarkan masalah pesawah sebelah Telok Bakong dan hari ni JPS juga membawa saya melihat pam air yang berfungsi dengan baik di sebelah Telok Bakong,” katanya.

Beliau terdahulu mengadakan lawatan mesra di lapangan bersama wakil pesawah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian serta pemimpin masyarakat.

Kemarau berpanjangan di daerah Perak Tengah telah menjejaskan paras air di Sungai Perak, sekali gus memberi kesan kepada keupayaan pam menyedut dan menyalirkan air ke terusan sistem pengairan sawah padi di Bota dan Lambor.

Masalah kegagalan rumah pam beroperasi secara optimum di sesetengah skema pengairan telah mencetuskan keresahan pesawah di Telok Bakong, Titi Gantong dan kawasan sekitarnya kerana mengancam jadual penanaman padi.

Mengulas lanjut, Dr Najihatussalehah menggariskan tiga perkara utama yang memerlukan perhatian segera serta tindakan konkrit daripada pihak kerajaan dan agensi berkaitan.

“Pertama, kebajikan pesawah mesti menjadi keutamaan. Pesawah merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negara.

“Oleh itu, mereka tidak seharusnya dibiarkan menanggung kerugian bersendirian apabila berdepan bencana seperti musim kemarau.

“Kedua, tindakan segera perlu dilaksanakan. Saya memohon agar semua agensi berkaitan mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan satu ‘task force‘ bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Usahakan bekalan air agar disalurkan ke kawasan yang terjejas. Antara tindakan yang perlu diberi perhatian ialah mengoptimumkan operasi rumah pam, menambah penggunaan pam bergerak sekiranya diperlukan.

“Juga penting menyelaraskan pelepasan air secara lebih cekap dan berkesan, serta memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik supaya bekalan air dapat sampai ke semua petak sawah yang terjejas,” jelas beliau.

Bagi strategi jangka panjang, beliau menggesa Kerajaan Perak menilai semula keseluruhan infrastruktur pengairan di Bota dan Lambor bagi memastikan ia lebih berdaya tahan berdepan ancaman perubahan iklim global.

“Ketiga, penyelesaian jangka panjang perlu dirancang. Kerajaan perlu menilai semula keseluruhan sistem pengairan di kawasan Bota dan Lambor agar lebih berdaya tahan dalam menghadapi perubahan iklim dan musim kemarau yang semakin kerap berlaku.

“Antara langkah yang wajar dipertimbangkan ialah menaik taraf rumah pam sedia ada, melaksanakan kerja-kerja pendalaman dan penyelenggaraan terusan secara berkala.

“Pihak berwajib juga perlu memasang sistem pemantauan paras air yang lebih efisien, serta menyediakan pelan mitigasi kemarau yang lebih tersusun dan menyeluruh.

“Satu lagi cadangan yang boleh difikirkan untuk dilaksanakan bagi solusi jangka panjang ialah membuat empangan jajar jika dilaksanakan boleh memastikan bekalan air yang lebih stabil dan cukup untuk semua pesawah daerah Perak Tengah,” tegasnya.

Beliau turut berharap Kerajaan Negeri Perak dan agensi teknikal mengambil tindakan pantas, sambil mengulangi komitmennya untuk memantau isu tersebut sehingga bekalan air ke kawasan sawah kembali stabil.

“Saya sangat berharap Kerajaan Negeri serta agensi-agensi berkaitan agar tindakan segera diambil. Insya-Allah, saya juga akan terus memantau perkembangan isu ini sehingga bekalan air kembali stabil dan kebajikan para pesawah mendapat perhatian sewajarnya.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Pesawah, IGROW, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian serta semua pihak yang hadir dan memberikan kerjasama sepanjang lawatan pada hari ini.

“Kehadiran kita pada hari ini bukan sekadar untuk melihat sendiri permasalahan yang berlaku, tetapi sebagai tanda komitmen untuk memastikan penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan.

“Semua ini demi menjaga kebajikan pesawah, menjamin kelangsungan pengeluaran padi, dan memperkukuhkan keselamatan makanan negara,” katanya yang turut disertai bekas EXCO Perak, Dato’ Hamidah Osman.

Tinjauan khas oleh ADUN Bota itu merangkumi tiga lokasi utama iaitu kawasan bendang yang mengalami kekeringan, Rumah Pam Kubang Haji terjejas akibat paras air sungai cetek.

Termasuk Rumah Pam Telok Bakong yang kini sudah berfungsi dengan baik selepas isu berkenaan tular di media utama minggu lalu. – HARAKAHDAILY 23/7/2026

- Advertisement -