
KOTA BHARU: Sektor pertanian Kelantan kini menjadi penyumbang kedua terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri dengan sumbangan antara 20 hingga 22.8 peratus atau kira kira RM6.1 bilion selepas sektor perkhidmatan.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud ketika mengumumkan pencapaian itu berkata, ia membuktikan kekuatan ekonomi negeri mempunyai asas kukuh dalam sektor agromakanan dan sumber bumi.
“Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding purata sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negara yang hanya sekitar enam hingga tujuh peratus.
“Hakikat ini menunjukkan kekuatan ekonomi Kelantan mempunyai asas yang kukuh dalam sektor agromakanan dan sumber bumi,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berucap demikian ketika merasmikan Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026 di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad Ke IV, di sini hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda pembangunan sektor pertanian dengan menjadikan Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026 sebagai medan memperkasa keterjaminan makanan, teknologi pertanian serta pembangunan usahawan tani di negeri ini.
Terang beliau lagi, Islam mengangkat sektor pertanian sebagai satu ibadah yang memberi manfaat kepada manusia, alam sekitar dan generasi akan datang.
“Kerajaan Negeri Kelantan mengangkat gagasan ‘Bertani Satu Ibadah’ sebagai antara dasar yang menjadi tunjang pembangunan sektor pertanian negeri.
“Gagasan ini bertujuan menyeru rakyat melihat aktiviti pertanian melangkaui sebagai sumber pendapatan sahaja bahkan sebagai satu wawasan ibadah yang menyahut tuntutan agama untuk memakmurkan bumi Allah SWT,” jelas beliau.
Tambahnya, Kelantan memiliki ekosistem pertanian pelbagai termasuk pengeluaran padi, tembikai, tomato tanah tinggi, cili, timun, durian, madu kelulut dan pembangunan baka lembu hibrid yang menjadikan sektor itu lebih berdaya tahan.
“Saya yakin sekiranya seluruh agensi kerajaan, institusi kewangan, pihak swasta, penyelidik, usahawan tani dan rakyat terus berganding bahu, Kelantan mampu memperkukuh kedudukannya.

“(Iaitu) sebagai negeri agromakanan yang unggul dan benteng penting kepada keterjaminan makanan negara,” katanya penuh optimis.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, sektor pertanian Kelantan kini melalui transformasi besar sehingga muncul sebagai hab pengeluaran makanan strategik negara.
Beliau berkata, Kelantan kini muncul sebagai pengeluar tembikai terbesar Malaysia dengan pengeluaran 64,827 tan metrik selain mencatat pengeluaran tinggi bagi durian, tomato, cili, timun, salak, madu kelulut, labu manis, ubi keledek dan jagung manis.
“Melalui kerjasama agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, orientasi sektor pertanian kini beralih kepada aspek keterjaminan makanan berskala besar.
“Beberapa Zon Agrovalley turut diwujudkan termasuk Rong Chenok Agro Valley di Pasir Mas, KPKB Agro Farm di Gual Ipoh dan Kelantan Bio Valley di Pasir Puteh bagi memusatkan pengeluaran pertanian secara komersial,” ujarnya lagi.
Menurut beliau, program Gerakkan Pertanian Al Falah pula menyasarkan kelahiran usahawan tani dan usahawan ternak di setiap DUN selain menggalakkan lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian moden menggunakan teknologi seperti sistem fertigasi pintar, pertanian bertingkat dan dron.
Tambahnya, kejayaan projek Komuniti Tanaman Harum Manis Al-Falah di Kandis dan Projek Komuniti Durian Al-Falah Selising melalui pendekatan ‘mentor mentee’ membuktikan pembangunan komuniti tani mampu meningkatkan ekonomi peserta.
“Ekspo Tani Negeri Kelantan 2026 yang bertemakan ‘Bertani Satu Ibadah Transformasi Tani Perkasa Hasil Berkualiti’ menjadi medan menghimpunkan inovasi, teknologi dan hasil pertanian berkualiti.
“Juga para usahawan agro dan pelbagai agensi bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta melahirkan generasi agropreneur yang berdaya saing,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











