
KEMAMAN: Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka menjadi pemacu baharu pertumbuhan anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) yang menyasarkan peningkatan hasil sehingga RM700 juta menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi limpahan ekonomi hasil pembangunan ECRL, pembesaran Pelabuhan Kemaman serta pelaksanaan beberapa projek strategik yang sedang dirancang syarikat.
Menurut beliau, kemasukan ECRL ke Pelabuhan Kemaman bakal membuka dimensi baharu kepada operasi pelabuhan yang sebelum ini lebih tertumpu kepada pengendalian kargo pukal.
“Pada pandangan saya, ECRL adalah ‘game changer’ kepada EPIC kerana ia akan meningkatkan ketersambungan Pelabuhan Kemaman dengan Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan serta Lembah Klang.
“Selama ini operasi pelabuhan lebih tertumpu kepada kargo pukal, namun dengan ECRL kita akan mula mengendalikan kargo kontena, sekali gus membuka segmen perniagaan baharu kepada EPIC,” katanya selepas pelancaran National Training Week EPIC di sini, semalam.
Mengulas perkembangan lain, Muhtar berkata EPIC turut merancang membina dua gudang baharu tahun depan dan sebuah lagi pada tahun berikutnya bagi menampung pertumbuhan aktiviti industri di Kemaman Supply Base.
Menurutnya, pelaburan itu bukan sahaja mampu meningkatkan prestasi syarikat, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
“Sejak 2023, EPIC sudah mengambil kira-kira 300 kakitangan baharu dan kini mempunyai hampir 2,000 pekerja termasuk di anak syarikat. Di Kemaman Supply Base pula terdapat 262 penyewa dengan kira-kira 9,000 pekerja berada di kawasan ini setiap hari.
“Dengan projek dan kontrak baharu yang bakal dilaksanakan, kita menjangkakan lebih ramai tenaga kerja dapat diserap,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2026











