
TAMPIN: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengarahkan seluruh ahli PAS supaya keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon BN dan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL (PN) berkata, arahan itu dibuat susulan persepakatan politik yang dimeterai bersama Barisan Nasional BN di Negeri Sembilan bagi menghadapi PRN kali ini.
“Saya sebagai Setiausaha Agung PAS, selain Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL (PN), menyeru dan lebih daripada itu mengarahkan semua ahli PAS supaya keluar mengundi pada 1 Ogos ini menyokong calon kita.
“Untuk kita rebahkan Pakatan Harapan di kawasan itu. Ini adalah arahan. Orang PAS wajib keluar sebagaimana kita diarahkan di Johor untuk memenangkan calon-calon Barisan Nasional (BN) tanpa mengira daripada Umno, MCA mahupun MIC,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Kebangkitan Gelombang Biru di FELDA Bukit Rokan di sini, kelmarin.
Turut bersama Presiden WAWASAN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Umno Bahagian Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa serta Pengarah Pilihan Raya WAWASAN PRN N9, Badrul Hisham Shaharin dan Yang Dipertua PAS Tampin, Zakaria Khalim.
Takiyuddin berkata, kerjasama antara PN dan BN di Negeri Sembilan berasaskan tuntutan agama supaya umat Islam dan orang Melayu kembali bersatu demi kepentingan negara.
Beliau membacakan ayat ke 10 Surah al Hujurat yang bermaksud ‘orang beriman itu bersaudara serta diperintahkan supaya mendamaikan perselisihan sesama mereka dan bertakwa kepada Allah SWT’.
Menurutnya, ayat tersebut menjadi panduan bahawa masyarakat Melayu yang majoritinya beragama Islam sewajarnya bekerjasama, saling membantu dan bersatu demi mencapai kebaikan umat.
“Oleh sebab itu, apa yang dilakukan oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) dan PERIKATAN NASIONAL (PN) untuk mempertautkan persaudaraan ini sebenarnya adalah satu perintah dan arahan daripada Allah SWT,” katanya.
Beliau turut mengimbau termeterainya Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno pada 14 September 2019 selepas kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Katanya, ketika itu buat pertama kali sebahagian ahli PAS menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang menjadi Ibu Pejabat Umno.
“Masa itu bercucuran air mata sedih kerana baru ketika itu kita bertaut, sedangkan sepatutnya kita sudah lama bekerjasama dan bersatu mempertahankan tanah air ini,” ujarnya.
Menurut beliau, walaupun usaha tersebut tidak dapat diteruskan sepenuhnya atas beberapa faktor, persepakatan yang dimeterai menjelang PRN Negeri Sembilan menjadi titik tolak kepada lembaran baharu hubungan kedua dua gabungan.
Takiyuddin berkata, beliau bersama Dato’ Seri Hamzah dan Setiausaha Agung Umno serta pimpinan Umno Negeri Sembilan memuktamadkan persepakatan itu pada 14 Julai 2026, iaitu empat hari sebelum hari penamaan calon.
“Mulai tarikh itu, PERIKATAN NASIONAL (PN) dan Barisan Nasional (BN) menjadi satu barisan yang tidak boleh dipisahkan lagi selama-lamanya, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar bertujuan memenangi PRN Negeri Sembilan, malah bagi mengembalikan kekuatan kepimpinan Melayu bersama Bumiputera dan seluruh rakyat dalam membangunkan negeri serta negara.
“Orang Melayu merupakan kumpulan yang dominan di negara ini. Kita mahu mengembalikan pemerintahan bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi juga di Malaysia bersama Bumiputera dan bangsa bangsa lain untuk membangunkan Malaysia baharu dan Negeri Sembilan baharu, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











