
SEREMBAN: Penyertaan calon Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), P Kumar Paramasivam bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Lobak membuktikan PERIKATAN NASIONAL (PN) membawa perjuangan terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, kehadiran calon daripada DHPP itu menjadi bukti bahawa agenda PN tidak hanya tertumpu kepada kelompok tertentu, sebaliknya merangkumi kepentingan seluruh masyarakat.
Menurut beliau, perkara itu sekali gus menolak ungkapan PH yang sering memainkan naratif bahawa agenda Penyatuan Ummah kononnya akan mengetepikan masyarakat berbilang kaum.
Katanya, Penyatuan Ummah yang diperjuangkan PN bukan bertujuan meminggirkan mana-mana pihak, sebaliknya usaha memperkukuh perpaduan umat Islam di samping memastikan hak dan kepentingan semua rakyat terus dihormati.

“PH sering memainkan naratif bahawa agenda Penyatuan Ummah kononnya mengenepikan kaum lain. Hakikatnya, Penyatuan Ummah bertujuan memperkukuh perpaduan umat Islam tanpa menafikan hak dan kepentingan masyarakat berbilang kaum.
“Penyatuan Ummah tidak pernah bermaksud menafikan hak masyarakat lain, malah ia bergerak seiring dengan usaha membina hubungan harmoni dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya,” katanya.
Razman berkata demikian ketika turun padang bersama Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad serta pasukan PN menyantuni masyarakat setempat selain menyampaikan mesej perpaduan dan kebersamaan demi kesejahteraan semua.
Tambah beliau lagi, keterbukaan PERIKATAN NASIONAL dapat dilihat menerusi penglibatan semua golongan dalam perjuangan parti itu termasuk penyertaan PM Kumar sebagai calon nombor satu bagi DUN N.11 Lobak.
“Buktinya, PERIKATAN NASIONAL turut menampilkan calon daripada DHPP, iaitu Dr P. Kumar Paramasivam atau PM Kumar, calon nombor satu bagi DUN N.11 Lobak.
“Ini membuktikan perjuangan PERIKATAN NASIONAL terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol.
Beliau berkata, pendekatan turun padang menjadi keutamaan bagi memastikan suara rakyat dapat didengar secara langsung, selain membolehkan pemimpin memahami sendiri isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat.
Sementara itu, Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan pula berkata, pilihan raya bukan sekadar medan untuk meraih sokongan pengundi, sebaliknya ruang untuk pemimpin mendekati rakyat serta memahami denyut nadi kehidupan mereka.
Menurutnya, pendekatan bersemuka dengan masyarakat membolehkan permasalahan sebenar rakyat dikenal pasti tanpa mengira latar belakang.
“Kita berkesempatan bersama Datuk Ustaz Haji Idris Ahmad serta Haji Razman Zakaria menziarahi masyarakat setempat dan mendengar sendiri keluhan yang disuarakan di DUN N.11 Lobak bersama calon PN, PM Kumar,” katanya.
Dr Balachandran berkata, hasil kunjungan tersebut turut memberi gambaran bahawa masih terdapat masyarakat khususnya golongan minoriti yang merasakan mereka belum mendapat perhatian dan layanan sewajarnya.
Jelas beliau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, perkara itu perlu diberi perhatian kerana setiap suara rakyat merupakan amanah perlu didengari dan diperjuangkan.
“Amat menyentuh hati apabila melihat masih ada masyarakat, khususnya golongan minoriti, yang merasakan mereka belum mendapat perhatian dan layanan yang sewajarnya.
“Setiap suara rakyat wajar didengari. Setiap keluhan adalah amanah yang perlu diperjuangkan,” katanya menegaskan PN komited membawa pendekatan pentadbiran yang lebih adil, prihatin dan inklusif sekiranya diberikan kepercayaan oleh rakyat.
Menurutnya, setiap lapisan masyarakat perlu mendapat pembelaan sewajarnya tanpa mengira latar belakang agar kesejahteraan Negeri Sembilan dapat dibina secara bersama.
“Semoga dengan sokongan rakyat, kita dapat membina sebuah pentadbiran yang lebih adil, prihatin dan inklusif, di mana tiada siapa yang dipinggirkan dan setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Demi Negeri Sembilan yang lebih sejahtera, kita terus melangkah bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2026











