MN seru ahli jayakan kerjasama PN-BN pada PRN N9

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) menyeru seluruh ahli, penyokong dan pendukungnya di seluruh negara bersama membantu memastikan kemenangan calon-calon PN dan BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa berkata, sejak penubuhannya, MN kekal menjadikan penyatuan ummah sebagai teras perjuangan dengan hasrat melihat PAS dan Umno kembali menjalin kerjasama dalam semangat permuafakatan.

- Advertisement -

Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, kerjasama tersebut penting bagi memperkukuh kestabilan politik, memperkasa umat Islam serta membina sebuah negara yang aman, harmoni, sejahtera dan berkebajikan.

“Alhamdulillah, usaha ke arah penyatuan ini mula menunjukkan perkembangan positif di Negeri Sembilan. Muafakat Nasional merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemimpin yang mengambil inisiatif ini.

“Mereka telah memainkan peranan menjayakan persefahaman dan kerjasama antara PN dan BN di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media sempena PRN Negeri Sembilan kelmarin.

Menurut beliau, perpaduan dan kesatuan umat Islam merupakan asas penting bagi menjamin kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran negara serta memelihara keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong MN mengadakan Solat Hajat di kawasan masing-masing bagi memohon keberkatan, pertolongan serta petunjuk Allah SWT agar usaha penyatuan ummah dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan.

Selain itu katanya, mereka juga digesa turun ke Negeri Sembilan mengikut kemampuan masing-masing untuk membantu gerak kerja kempen calon-calon PN dan BN melalui sumbangan tenaga, kepakaran, pengalaman serta sokongan.

Beliau turut mengajak pengundi memberikan sokongan dan memusatkan undi kepada calon-calon PN dan BN sebagai manifestasi komitmen terhadap agenda penyatuan ummah, kestabilan politik serta masa depan negara.

Annuar berkata, MN yakin semangat kerjasama, ukhuwah dan permuafakatan yang berteraskan kepentingan agama, bangsa dan negara merupakan landasan terbaik untuk membina Malaysia yang lebih stabil, harmoni, makmur dan sejahtera.

Sementara itu, Annuar yang juga Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat turut memperkenalkan pendekatan baharu bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan dengan menjadikan Pusat Media, Penerangan dan Komunikasi.

“Pendekatan ini bertujuan menghidupkan semangat persaudaraan dan kebersamaan antara PN, BN serta rakyat demi mewujudkan suasana yang harmoni dan bersatu padu,” katanya.

Beliau optimis pendekatan baharu itu mampu memperkukuhkan gerak kerja kempen sepanjang PRN Negeri Sembilan dengan semangat ‘Kito Jago’ sebagai tema perjuangan bersama.

“Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dan mengurniakan kejayaan kepada perjuangan yang berasaskan penyatuan, keadilan serta kesejahteraan rakyat,” katanya. — HARAKAHDAILY 22/7/2026

- Advertisement -