Isu gejala sosial Kelantan: Fakta Kor Ming tak jujur

Menteri DAP 'membongak' demi undi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin politik Pakatan Harapan (PH), Nga Kor Ming digesa berlaku jujur dan bertanggungjawab dalam menyampaikan data serta fakta sebenar kepada masyarakat awam dan bukannya mereka-reka cerita demi untuk meraih sokongan politik.

Penganalisis politik, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff membidas keras pemimpin DAP itu susulan tular satu rakaman video ceramah membabitkan Kor Ming dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini. 

Dr Nurul Islam menyifatkan ‘fakta’ dinyatakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu dalam ceramah tersebut sebagai satu bentuk kenyataan yang ‘membongak’ dan biadab terhadap seluruh rakyat negeri Kelantan. 

Kor Ming mendakwa kononnya negeri Kelantan mencatatkan rekod kes sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS), rogol dan penyalahgunaan dadah tertinggi akibat berada di bawah pemerintahan PAS selama 30 tahun.

“Tadi aku tengok video ceramah Nga Kor Ming dalam PRN Johor. Antara yang dia sebut, Kelantan diperintah PAS selama 30 tahun. Sebab itu Kelantan ada banyak; AIDS, kes rogol dan kes dadah.

“Sebagai Menteri, aku rasa sepatutnya dia kena jujur dalam menyampaikan fakta. Bukan temberang sana sini untuk dapatkan undi,” kata beliau yang juga Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Pusat. 

Menangkis dakwaan mengenai kes AIDS, beliau membentangkan statistik rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang pernah didebatkan di Parlimen di mana Selangor sebenarnya mendahului dengan 34.1 peratus, diikuti Kuala Lumpur (11.4 peratus) dan Sabah (10.8 peratus).

Bagi kes jenayah seksual pula, beliau memetik kenyataan rasmi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pada 24 Februari 2026 yang mengesahkan Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 3,392 kes dengan 1,575 kes berjaya dituduh. 

“Dari hujah aku diatas, nampak sangat Nga Kor Ming ni membongak. Kalau nak ikut hujah dia, maka kes AIDS dan rogol tertinggi adalah Selangor. Sapa perintah Selangor? Pakatan Harapan!

“Jadi patutlah rakyat Johor tolak Pakatan Harapan kan? Aku harap pengundi di Johor tak terpengaruh dengan hujah bodoh Nga Kor Ming ni. Mengarut,” tegasnya.

Mengulas mengenai isu narkotik, Dr Nurul Islam tidak menafikan bahawa Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis memang mencatatkan angka tinggi, namun hal itu didorong oleh faktor kedudukan geografi negeri-negeri tersebut yang berada berhampiran garisan sempadan negara jiran, Thailand.

Beliau menegaskan adalah tidak adil meletakkan kesalahan tersebut di bahu Kerajaan Negeri memandangkan segala aspek kawalan sempadan dan agensi penguatkuasaan utama berada di bawah kawal selia Kerajaan Pusat. 

“Cumanya kemasukkan dadah dalam negara ni takkan salah Kerajaan Negeri? Sedangkan agensi penguatkuasaan seperti Polis, Kastam, AADK adalah bawah Kerajaan Pusat,” jelas beliau. 

Sambil menyifatkan tindakan Kor Ming sebagai melampau, beliau turut melontarkan cabaran terbuka kepada pemimpin DAP itu untuk mengulangi kenyataan serta naratif ceramah sedemikian secara bersemuka di hadapan rakyat Kelantan sendiri. 

Beliau turut menyeru seluruh kepimpinan tertinggi politik Kerajaan Madani agar menghentikan taktik kempen kotor dan sebaliknya memfokuskan usaha untuk mempamerkan merit prestasi sepanjang tempoh mentadbir negara. 

“Satu lagi aku nak cabar Nga Kor Ming, kalau berani datanglah ceramah macam ni kat Kelantan. Nak merasa kena jerkah dengan orang Kelantan boleh lah. Memang biadab betul Menteri sorang ni. Biadab terhadap rakyat Kelantan.

“Kepada pimpinan politik Kerajaan Madani. Cukuplah main politik kotor macam ni. Berlaku jujur dalam berpolitik. Jangan bawa budaya pitenah politik. Gi kempen ceritalah kejayaan Kerajaan Madani.

“Biar rakyat konfiden dengan Kerajaan Madani. Kecuali Kerajaan Madani takde kejayaan langsung. Mungkin sebab tu dok reka cerita depan pengundi. Betul tak?” katanya. – HARAKAHDAILY 28/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -