
KANGAR: Mahkamah Sesyen membuat keputusan membebaskan dan melepaskan anak kepada mantan Menteri Besar Perlis, Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 37 di sini, hari ini.
Keputusan mahkamah itu berkaitan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM19,000 selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi membuat keputusan itu selepas menilai keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan mendapati tidak cukup bukti untuk memanggil tertuduh membela diri.
Menurut beliau, mahkamah perlu menilai pada akhir kes pendakwaan sama ada wujud kes mencukupi untuk diteruskan ke peringkat pembelaan di mana didapati pihak pendakwaan gagal memenuhi tahap tersebut.
Mahkamah turut mempertimbangkan dua isu utama sepanjang perbicaraan, iaitu kredibiliti keterangan saksi serta pengesahan terhadap bahan bukti yang dikemukakan, selain persoalan sama ada tertuduh boleh dikategorikan sebagai ejen dalam konteks pertuduhan.
“Selepas meneliti keterangan saksi-saksi, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal mewujudkan kes prima facie terhadap pertuduhan,” katanya ketika membacakan penghakiman.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Mohd Syafeeq tanpa dipanggil membela diri, serta mengarahkan wang jaminan dipulangkan.
Peguam yang mewakili tertuduh, Mohd Fadhly Yaacob berkata, keputusan tersebut menamatkan proses perundangan yang telah berlarutan selama dua tahun dan membersihkan nama anak guamnya serta keluarganya.
Beliau turut menyatakan bahawa keputusan mahkamah itu juga membantu memulihkan reputasi bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang sebelum ini terkesan dengan pertuduhan tersebut.
Menurutnya, pembelaan berpuas hati selepas mahkamah meneliti keterangan 11 saksi pendakwaan sebelum membuat keputusan tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan notis rayuan dalam tempoh 14 hari terhadap keputusan berkenaan.
Mengikut pertuduhan sebelum ini, Mohd Syafeeq didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan Pesanan Bekalan Perkhidmatan Kerajaan Negeri Perlis, dengan niat untuk memperdayakan tuntutan berjumlah RM19,505.10 pada 14 Februari 2024. – HARAKAHDAILY 19/5/2026











