Muslimat PAS tawar tandingi dua kerusi di Gombak

- Advertisement -

GOMBAK: Muslimat PAS diingatkan agar memberi penekanan kepada tiga aspek utama iaitu pengukuhan tarbiah, peningkatan keahlian dan pemantapan jentera sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan menegaskan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak kali ke-31, baru-baru ini.

- Advertisement -

Beliau berkata, kekuatan dalaman parti perlu dibina melalui pelaksanaan program tarbiah yang konsisten khususnya di peringkat cawangan sebagai asas gerakan parti.

Menurutnya, kelemahan cawangan yang tidak aktif atau tidak melaksanakan usrah perlu segera ditangani bagi memastikan kelangsungan gerak kerja.

“Cawangan adalah asas kepada kita. Jika tidak kuat di peringkat bawah, kita tidak mampu menggerakkan jentera secara menyeluruh,” katanya turut menegaskan kepentingan menambah keahlian bagi memperkukuh tenaga kerja serta sokongan pengundi.

Menurutnya, PAS mempunyai jumlah ahli yang besar di seluruh negara dan potensi tersebut perlu dimanfaatkan secara lebih berkesan di peringkat kawasan.

“Usaha merekrut ahli baharu perlu dipergiat termasuk dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum melalui pendekatan lebih inklusif,” jelasnya turut mengulas pelbagai cabaran semasa dihadapi rakyat.

Antaranya beliau menyentuh mengenai isu kos sara hidup, kenaikan harga bahan api dan tekanan ekonomi yang diserunya agar diberi perhatian dalam usaha mendekati rakyat.

Selain itu katanya, isu sosial serta penganjuran festival yang boleh memberi kesan kepada generasi muda, di samping isu penternakan babi dikaitkan dengan pencemaran, turut perlu dijelaskan kepada masyarakat.

“Semua isu ini perlu diperjelaskan agar rakyat memahami implikasi sebenar terhadap kehidupan seharian mereka,” ujarnya.

Menyentuh PRU16 di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN), Wan Hasrina menyeru seluruh jentera Muslimat agar terus istiqamah, memperkukuh kesatuan dan meningkatkan kesiapsiagaan.

Ketua Muslimat PAS Gombak, Ruhaiza Mohamed terdahulu menyatakan kesiapsiagaan pihaknya memasuki PRU16 dengan lebih tersusun, aktif dan berstrategi bagi memastikan kemenangan parti di kawasan itu.

Menurutnya, tema mesyuarat kali ini iaitu ‘Muslimat AKIFI Memacu Kemenangan’ menekankan pembentukan Muslimat yang seimbang dari sudut ilmu, gerak kerja dan kerohanian.

“Muslimat yang alim akan sentiasa berpandu kepada ilmu dan syariat Allah dalam setiap tindakan. Muslimat yang haraki pula sentiasa aktif membawa agenda perjuangan, manakala Muslimat yang sufi kukuh hubungan rohani dengan Allah SWT,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan wanita Islam amat besar dalam perjuangan menegakkan agama, selaras dengan firman Allah dalam Surah at-Taubah ayat 71 yang menyeru kepada amar makruf dan nahi mungkar.

Katanya, sejarah juga membuktikan sumbangan besar golongan wanita seperti Saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah dan Saidatina Asma’ dalam membantu perjuangan Rasulullah SAW.

Mengulas situasi semasa negara, Ruhaiza berkata pelbagai cabaran yang menggugat kedudukan Islam, institusi agama dan hak Bumiputera memerlukan PAS terus memainkan peranan penting dalam kepimpinan negara.

“Keadaan ini menuntut PAS untuk terus berada dalam barisan kepimpinan utama negara bagi memastikan kepentingan Islam dan rakyat sentiasa terpelihara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera Muslimat PAS Gombak agar bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan parti dalam PRU16, termasuk di Parlimen Gombak dan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi.

“Kami bersedia menawarkan calon Muslimat yang berwibawa, berilmu dan dekat dengan masyarakat untuk diketengahkan sebagai calon yang mampu membawa kemenangan kepada PAS,” katanya mengharap dua kerusi diberi kepada Muslimat untuk bertanding.

Tambah beliau lagi, Dewan Muslimat PAS Gombak akan terus memperkukuhkan saf perjuangan dan menggembleng tenaga bagi memastikan kemenangan Islam dapat direalisasikan di kawasan tersebut.

“Setiap sumbangan dan pengorbanan yang kita berikan akan menjadi saham besar di sisi Allah SWT. Marilah kita melangkah ke hadapan dengan semangat alim, haraki dan sufi demi memacu kemenangan Islam,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -