Laluan Lojing-Cameron Highland dibuka 21 Mei ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jalan lencongan sementara di FT185 Pos Blau, Lojing yang terputus akibat runtuhan sebelum ini dijangka dibuka kepada pengguna seawal 21 Mei ini sekali gus memulihkan semula hubungan perhubungan antara Kelantan, Pahang dan Perak.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, pembinaan laluan sementara itu berjaya dipercepatkan hasil tindakan susulan dan kerjasama erat pelbagai pihak termasuk Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Menurutnya, lawatan bersama Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi ke lokasi kejadian pada 2 Februari lalu membantu mempercepatkan usaha penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan tindakan susulan yang dipercepatkan, pembinaan jalan lencongan sementara kini hampir siap dan dijangka dibuka kepada pengguna pada seawal 21 Mei 2026,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pembukaan semula laluan itu amat penting dalam memulihkan hubungan pengangkutan serta merancakkan kembali sektor ekonomi antara negeri khususnya membabitkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik.

Katanya, laluan berkenaan menjadi penghubung penting antara Kelantan, Pahang dan Perak serta memberi manfaat besar kepada penduduk dan pengusaha sektor berkaitan.

“Pembukaan laluan ini sudah tentu amat penting dalam memulihkan hubungan pengangkutan serta merancakkan kembali sektor ekonomi interstate antara Kelantan, Pahang dan Perak, khususnya melibatkan sektor pertanian, pelancongan dan logistik,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Menteri Kerja Raya atas keprihatinan serta kerjasama yang diberikan dalam menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati memandangkan laluan yang dibuka itu hanyalah jalan lencongan sementara.

“Sentiasalah berwaspada, patuhi arahan keselamatan dan pandulah dengan cermat demi keselamatan bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/5/2026

- Advertisement -