
KUALA TERENGGANU: Populasi ternakan di Terengganu terus menunjukkan angka memberangsangkan dengan merekodkan 107,531 ekor lembu, 38,775 ekor kambing pedaging, 2,146 ekor kambing tenusu dan 7,631 ekor bebiri setakat tahun 2025.
Peningkatan itu disokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan ternakan termasuk Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi tahun 2025, melibatkan peruntukan keseluruhan RM2.98 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, daripada jumlah peruntukan itu, RM2 juta digunakan bagi pembelian lembu, manakala RM980,000 bagi kambing pedaging.
Menurutnya, program berkenaan turut melibatkan agihan 17 ekor lembu dan 223 ekor kambing kepada penternak terpilih di seluruh negeri.
“Bagi pengagihan lembu, setiap penternak menerima dua ekor lembu tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (DVS).
“Penternak juga perlu menandatangani perjanjian bersama DVS dan dikehendaki memulangkan seekor anak daripada induk yang dibekalkan dalam tempoh tiga tahun bagi membolehkan program ini diperluaskan kepada lebih ramai penternak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Shah Muhamed (PAS-Bandar) mengenai jumlah ternakan yang dibawa masuk ke Terengganu bagi program peningkatan populasi ternakan pada tahun lalu, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, bagi tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 330 ekor lembu, 247 ekor kambing pedaging, 155 ekor kambing tenusu dan 122 ekor bebiri telah dibawa masuk ke negeri ini melalui pelbagai program peningkatan populasi ternakan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri melalui DVS terus melaksanakan kawalan penyakit serta program pembiakan termasuk permanian beradas (AI) bagi meningkatkan kualiti baka ternakan.
“Usaha ini bukan sahaja untuk menambah populasi, tetapi memastikan industri ternakan lebih produktif dan memberi pulangan ekonomi lebih baik kepada penternak,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2026











