Wakil PAS sertai Kongres Global Sumud

Bawa suara Palestin ke pentas dunia

- Advertisement -

BRUSSELS, Belgium: Wakil PAS dalam rombongan Malaysia ke Global Sumud Parliamentary Congress menegaskan komitmen membawa suara Palestin ke pentas antarabangsa.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kongres itu berlangsung serentak dengan pelayaran Armada Global Sumud di Laut Mediterranean menuju Gaza sebagai desakan bersama melalui laluan laut dan darat.

- Advertisement -

“Deklarasi Brussels (yang bakal dimuktamadkan) merupakan satu instrumen penting untuk mendesak masyarakat antarabangsa.

“(Termasuk) menyekat undang-undang zalim rejim berkaitan hukuman gantung mandatori ke atas tahanan Palestin.

“(Serta) mendesak pembukaan segera pintu sempadan Rafah bagi bantuan kemanusiaan (serta), menuntut penamatan perang secara menyeluruh di Gaza,” ujarnya.

Menurutnya, kehadiran Ahli Parlimen dari seluruh dunia termasuk tokoh hak asasi manusia seperti Francesca Albanese dan Mustafa Barghusi memperkukuh usaha memastikan deklarasi itu dipatuhi.

“Kongres ini dengan mesej besar – ‘Dismantling Colonial Apartheid: From International Law To Palestinian Liberation’” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kongres berkenaan menghimpunkan Ahli Parlimen dari pelbagai negara termasuk Eropah bagi memastikan tekanan antarabangsa terhadap isu Palestin diterjemahkan kepada tindakan.

“Kongres kali ini akan mengeluarkan deklarasi yang akan dikenali dengan Deklarasi Brussels yang merupakan satu instrumen penting bagi mendesak masyarakat antarabangsa (dalam isu Palestin),” ulasnya sambil memohon doa agar misi berkenaan dipermudahkan.

Delegasi Malaysia ke Brussels diketuai Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, bersama Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik serta Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Bakhtiar Wan Chik menjelaskan bahawa, delegasi itu membawa suara kemanusiaan dari Malaysia untuk membantah hukuman mati ke atas rakyat Palestin serta menyokong misi kemanusiaan Sumud Flotila ke Gaza.

“Mohon doa semua agar usaha kecil ini dipermudahkan dan diberkati, demi mempertahankan hak dan maruah rakyat Palestin yang terus dizalimi.

“Semoga perjalanan ini menjadi sebahagian daripada ikhtiar kita bersama dalam memperjuangkan keadilan, keamanan dan kemanusiaan sejagat,” jelasnya.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby pula menegaskan penyertaan Malaysia penting dalam meningkatkan tekanan politik antarabangsa terhadap Israel ketika krisis Palestin memuncak.

Beliau menjelaskan bahawa delegasi Malaysia menggabungkan Ahli Parlimen merentas parti, pengamal undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan dan pengamal media dalam satu pendekatan bersepadu.

Menurut beliau, penyertaan Malaysia dalam kongres berkenaan sangat penting pada garis masa kritikal.

“(Ia) susulan perkembangan terbaharu yang melibatkan undang-undang hukuman gantung mandatori terhadap ribuan tahanan Palestin di penjara rejim.

“Yang mencetuskan kemarahan dan kebimbangan serius terhadap pelanggaran hak asasi manusia.

“Kita tidak banyak pilihan selain sertai semua medan juang demi membela secara langsung sama ada di aksi advokasi di lautan, darat.

“Dan dalam masa sama kita perlu terlibat bersama dunia di pentas yang ada secara aktif termasuk deklarasi Brussels mewakili blok Asia.

“Khususnya Malaysia yang kekal teguh bersama Palestin,” katanya dalam kenyataan epada sebuah media tempatan.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kongres berkenaan bertujuan menterjemahkan tekanan terhadap kekejaman Israel kepada tindakan berstruktur yang mampu mempengaruhi pendirian kuasa besar secara kolektif.

Menurut beliau, tekanan kemanusiaan sahaja tidak mencukupi tanpa dimensi advokasi politik melalui platform Parlimen, resolusi antarabangsa dan suara kolektif negara-negara.

“Jika tekanan hanya bersifat kemanusiaan tanpa dimensi advokasi politik, ia tidak mencukupi.

“Kita perlu gandakan tekanan melalui platform Parlimen, resolusi antarabangsa serta suara kolektif negara-negara,” katanya.

Kongres sulung itu turut memfokuskan usaha memperkukuh perlindungan kemanusiaan, mempercepat pengiktirafan laluan maritim ke Gaza serta menggerakkan tindakan perundangan termasuk menghentikan pemindahan senjata.

Delegasi Malaysia turut melibatkan wakil NGO dan institusi seperti Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia, Gagasan MyAqsa Defender, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), serta pakar undang-undang dan pengamal media. – HARAKAHDAILY 23/4/2026

- Advertisement -