
RM2 bilion. Inilah nilai emas yang tersimpan di bawah Bukit Mantri. Sejumlah 4.5 tan berat potensi emas yang dilaporkan menurut laporan teknikal kajian potensi emas di Bukit Mantri. (Gambar 1)

Saya sebagai warga Balung sangat berharap potensi ini mampu diterjemahkan dengan baik dan mapan tanpa mengabaikan manfaat kepada masyarakat di Balung.
Mari saya kongsikan fakta menarik untuk kita sama-sama teliti betapa besar potensi di Balung jika mampu diurus dengan baik.
Lombong ini beroperasi di bawah Wullersdorf Resources Sdn Bhd, subsidiary of AuMAS Resources Bhd. Public Listed Company. Dikatakan lombong ini berpotensi menjadi lombong emas terbesar di Malaysia. (Gambar 2)

Sabah Media bertarikh 18 September 2025 melaporkan bahawa sejumlah 60 kg hingga 70 kg emas dikeluarkan dari lombong ini yang menjadikan jualan bernilai sekitar RM30 juta setiap bulan. (Gambar 3)

Jumlah jualan tahunan pada tahun 2024 pula adalah sekitar RM200 juta setahun merujuk kepada laporan tahunan AuMas Resources Bhd. (Gambar 4)

Jumlah royalti yang diterima oleh Kerajaan Negeri Sabah semenjak lombong ini mula beroperasi pada 2018 adalah berjumlah RM23.96 juta mewakili 5 peratus dari hasil jualan RM585 juta. (Gambar 5)

Persoalannya apa yang orang Balung dapat?
Saya faham royalti adalah milik kerajaan negeri namun kami di Balung sangat menghargai jika hasil dari bumi di sini dapat kami rasai tempias manfaatnya. Paling tidak, bantulah turap jalan dan pasang tiang lampu jalan.
Untuk dana kepada khidmat masyarakat (CSR), dilaporkan AuMAS Resources Bhd mengeluaran sebanyak RM593,683 pada tahun 2023 manakala tahun 2024 berjumlah RM64,000. (Gambar 6)

Saya harap agar pihak AuMAS boleh mengutamakan masyarakat di Balung dan terus mampu meneruskan sumbangan khidmat masyarakat sebegini.
Jika perlu saya menjadi penghubung insya-Allah saya bersedia kelak. Tidak kira sama ada saya dipilih menjadi wakil rakyat di sini ataupun tidak.
Sememangnya kami selama ini memang berterusan giat menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan di Balung.
Saya juga difahamkan ramai orang Balung yang turut bekerja di lombong tersebut daripada 240 keseluruhan pekerja di sana. (Gambar 7)

Saya berharap lombong ini dapat dilaksanakan dalam keadaan yang menjaga alam sekitar, memberi manfaat infrastruktur dan peluang pekerjaan kepada masyarakat Balung.
Jangan pula pihak syarikat sahaja mengaut keuntungan dan kami di Balung tidak dapat apa-apa
Saya membayangkan suatu hari nanti kami di sini tidak perlu lagi menghadapi jalan berlubang dan gelap. Anak muda di sini tidak lagi perlu berhijrah jauh bagi mencari peluang pekerjaan.
Syarikat yang melombong pula harus menuruti SOP dan mematuhi garis panduan bagi menjaga kepentingan alam sekitar dan masyarakat setempat.
Balung ini mempunyai potensi yang sangat besar jika diurus oleh pemimpin yang benar-benar bekerja keras dan sentiasa memikirkan perihal rakyat.
Semoga saya mampu membawa perubahan di Balung kelak.
Nantikan perkongsian saya dalam “Siri Potensi di Balung” yang akan datang.

Ikhlas daripada saya,
DR MUNZIER MAHAMUD
Undilah calon No.10, N.67 Balung
“Dekat Di Hati, Teguh Berkhidmat” – HARAKAHDAILY 19/11/2025




















