Isu Tiong King Sing: PMX lembut dan mengecewakan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff menyifatkan respon Perdana Menteri terhadap kontroversi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sebagai terlalu lembut dan mengecewakan.

- Advertisement -

Menurut beliau, sudah berkali-kali Tiong mencetuskan isu yang menimbulkan kemarahan rakyat namun tiada sebarang tindakan tegas diambil oleh Perdana Menteri.

Nurul Islam berkata, rakyat kini tertanya-tanya mengapa begitu sukar bagi Perdana Menteri untuk mengambil tindakan yang tegas.

“Apa yang susah sangat nak cakap ‘Tiong King Sing, awak dipecat’? Sudah berkali-kali Tiong buat hal, dikecam, ulang balik, dikecam lagi, ulang lagi. Tapi respon PMX (sekadar) amaran, teguran, amaran balik, teguran balik hingga rakyat jemu,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan merupakan satu perbuatan yang melampau dan menghina sensitiviti umat Islam.

Tindakan itu juga, katanya, jelas bertentangan dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Bila arak yang haram di sisi Islam dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, ia melampau. Ia merobek maruah dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Madani,” ujarnya.

Nurul Islam turut menegaskan bahawa rakyat telah bersuara dan mendesak supaya Tiong King Sing dipecat daripada kabinet.

Menurutnya, Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar menggugurkan mana-mana menteri yang menimbulkan keresahan rakyat atau tidak lagi layak berkhidmat.

“Kuasa ada di tangan PMX. Jika beliau berani dan ikhlas mempertahankan prinsip Islam, beliau boleh menasihati YDPA untuk menggugurkan Tiong dan melantik pengganti lain dari GPS,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Perdana Menteri agar tidak bersikap acuh tak acuh terhadap kemarahan rakyat yang semakin memuncak.

“Jangan buat tidak dengar bila rakyat bersuara. Rakyat sedang marah. Beranilah bertegas, jangan jadi harimau nampak garang di luar tapi penakut bila agama dihina,” katanya lagi.

Menurutnya, rakyat kini sudah semakin matang dan tidak mudah diperdaya dengan slogan atau janji manis.

“Rakyat tahu siapa pemimpin yang hanya pandai bercakap tapi tidak berani bertindak. Jangan bila ombak amarah rakyat datang, bahtera Madani karam sebelum sampai ke pelabuhan. (Pada) masa itu, menangis tidak berlagu pun tiada guna,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 07/10/2025

- Advertisement -