
IPOH: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyifatkan DAP paling takut apabila rakyat Perak mula bersatu hati dan bersatu untuk menyekat kemaraan parti itu daripada menjadi kerajaan.
Beliau berkata, pemimpin DAP, Nga Kor Ming berhak untuk bercakap dan berusaha menyekat kemaraan ‘gelombang hijau’, namun tindakan menggunakan istilah itu hanya untuk menakut-nakutkan rakyat.
“Tapi jangan lupa rakyat hari ini sudah celik. Mereka tahu siapa yang bercakap untuk rakyat dan negara dan siapa pula yang berselindung di balik slogan palsu,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Menurut beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, penyokong akar umbi Umno sendiri kini sudah nampak tembelang DAP ketika bersama dalam ‘Kerajaan Perpaduan’ hari ini.
Jelasnya di Perak, DAP tidak akan mampu menjadi kerajaan tanpa sokongan orang Melayu kerana 18 kerusi yang mereka ada itu sudah maksimum semuanya di kawasan bukan Melayu.
“Untuk capai 30 kerusi bagi membentuk kerajaan, DAP perlukan sekurang-kurangnya 12 kerusi majoriti Melayu lagi. Mustahil itu akan berlaku jika rakyat terus bersatu di bawah panji Islam dan perjuangan sebenar,” tegasnya.
Beliau turut menyertakan komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang mempunyai 59 kerusi iaitu Barisan Nasional (BN)–9 (Umno: 8, MCA: 1), Perikatan Nasional (PN)–26 (PAS: 17, BERSATU: 9) dan Pakatan Harapan (PH)–24 (PKR: 5, DAP: 18, PAN: 1).
“Terima kasih kepada Umno-BN kerana menolak RUU (Rang Undang-undang) URA (Pembaharuan Semula Bandar). Sekarang barulah mereka sedar bila DAP berada dalam kerajaan, siapa sebenarnya yang untung dan siapa yang rugi.
“Sekarang barulah mereka tahu DAP tidak berubah, mungkin Umno yang semakin rebah,” tempelak beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Beliau berkata, insya-Allah PAS dan PN akan memastikan DAP tidak lagi berpeluang menjadi kerajaan di Perak mahupun di Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
“Rakyat bukan lagi mudah diperdaya dengan retorik. Orang bukan Islam pun sudah nampak pemimpin DAP ini banyak bercakap, tapi tidak serupa bikin.
“Waktu belum berkuasa, mereka gah melaung konon mahu perjuang integriti dan bela kos sara hidup rakyat. Tapi setelah berkuasa, semuanya lesap,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Nga Kor Ming menyambut baik keputusan Umno Perak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan menghadapi PRU16.
Beliau menegaskan kerjasama BN dan PH akan memperkukuh kestabilan politik serta memberi peluang meraih kemenangan besar di Perak.
Nga turut menyeru rakyat menolak ‘gelombang hijau’ dan memastikan kemenangan calon ‘Kerajaan Perpaduan’. – HARAKAHDAILY 7/10/2025











