Hidang arak majlis rasmi, kerajaan langgar etika

- Advertisement -

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan menghidangkan minuman beralkohol pada majlis malam rasmi anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), bagi promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 adalah tidak beretika dan amat memalukan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh, berkata, perbuatan itu bukan sahaja melanggar prinsip etika pentadbiran awam, ia juga mencabul maruah agama Islam serta menyinggung perasaan majoriti rakyat Malaysia yang berpegang kepada nilai moral dan kesopanan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang menggelar diri ‘Madani’, tindakan ini amat memalukan dan menampakkan kecelaruan prinsip dalam pentadbiran seolah-olah nilai Islam hanya dijadikan slogan, bukan panduan dasar.

“Perbuatan menghidangkan arak dalam majlis rasmi kerajaan ini secara jelas mencanggahi Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau juga menegaskan, sewajarnya MOTAC menjadi wajah dan duta budaya negara tetapi tindakan menormalisasikan arak secara tidak langsung memberi gambaran songsang terhadap Malaysia sebagai negara timur yang beradab dan beragama.

“Apakah minuman keras kini dianggap sebagai lambang kemajuan pelancongan?

“Saya mahu soalan ini dijawab oleh Menteri MOTAC sendiri,” soalnya lagi.

Justeru ujarnya, DMPM bukan sahaja membantah sekeras-kerasnya tindakan kementerian berkenaan, sebaliknya merasa dukacita serta kecewa yang amat mendalam.

Apatah lagi, perbuatan tersebut secara tidak langsung mencemar citra Malaysia di mata dunia malah boleh mengundang kerosakan moral serta memberi contoh yang buruk kepada generasi muda.

“DMPM memandang serius implikasi sosial daripada tindakan ini. Apabila arak diraikan dalam majlis rasmi kerajaan, ia memberi isyarat yang salah kepada rakyat
khususnya generasi muda.

“Ia seolah-oleh membawa mesej bahawa arak boleh diterima sebagai norma sosial sedangkan ia bertentangan dengan tanggungjawab kerajaan untuk mendidik serta membimbing rakyat berakhlak mulia dan mengamalkan gaya hidup sihat,” tambah beliau lagi.

Tegasnya, wanita adalah benteng moral dan penjaga maruah bangsa dan tidak boleh berdiam diri apabila nilai agama dan kesopanan diinjak oleh mereka yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat.

Tindakan MOTAC itu jelas beliau, bukan sahaja memalukan negara, tetapi juga mengkhianati amanah rakyat yang mengharapkan kepimpinan berakhlak dan berprinsip.

Berikutan itu, mewakili DMPM, beliau mendesak agar tindakan segera perlu diambil sama ada pihak MOTAC sendiri memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia dan mengambil tanggungjawab penuh atas kecuaian ini.

Termasuk menyarankan agar garis panduan rasmi yang sedia ada digunapakai dan dikuatkuasakan, yang mana telah ada larangan penyediaan minuman beralkohol dalam semua majlis rasmi kerajaan.

Selain itu kata beliau, MOTAC juga perlu mengamalkan dasar promosi pelancongan beretika dan berbudaya dengan menjadikan nilai Islam dan moral sebagai teras kepada TMK 2026.

“Maruah negara tidak boleh digadaikan atas nama keterbukaan dan pelancongan,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pemimpin dan rakyat Malaysia agar bersatu mempertahankan akhlak, agama, dan nilai murni sebagai asas kemakmuran negara.

Dalam pada itu, umat Islam juga katanya perlu berpaksi kepada amaran Allah yang dirakamkan di dalam Surah Hud (ayat 113) yang melarang umat-NYA cenderung kepada kejahatan, kerana balasannya akan disentuh api neraka-NYA di akhirat nanti. HARAKAHDAILY 7/10/2025

- Advertisement -