
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) merakamkan ucapan takziah dengan penuh dukacita atas pemergian tokoh ulama tersohor Mesir, al-‘Allāmah Prof Dr Ahmad ‘Umar Hāsyim, bekas Rektor Universiti al-Azhar dan anggota Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Mesir.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahya, menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada dunia Islam.
“Beliau merupakan antara tokoh ulama terkemuka yang banyak berjasa dalam bidang hadis, dakwah dan pendidikan Islam. Sumbangan serta karya beliau meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam seluruh dunia, khususnya melalui institusi al-Azhar yang menjadi mercu ilmu dan hidayah umat,” ujar beliau.
DUPP turut menyanjungi jasa besar Allahyarham sebagai pewaris perjuangan ulama al-Azhar yang istiqamah menyebarkan ilmu, mempertahankan aqidah dan memperkukuh kefahaman Islam berteraskan wasatiyyah.
“Kealiman beliau amat terserlah dalam bidang hadis dan pengajian Islam. Kepimpinan beliau di Universiti al-Azhar telah melahirkan ribuan ulama, cendekiawan dan pendakwah dari seluruh dunia Islam,” tambah kenyataan itu lagi.
Ramai pelajar Malaysia di bumi al-Azhar turut merasai limpahan ilmu dan bimbingan beliau, yang akan kekal sebagai amal jariah berpanjangan.
DUPP menegaskan bahawa umat Islam kehilangan seorang tokoh berilmu luas, berhati mulia dan sentiasa menyeru kepada perpaduan serta kebenaran.
“Kami mendoakan agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa beliau, melimpahkan rahmat-Nya yang luas, serta menempatkan roh beliau bersama para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan ulama mukhlisin,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 07/10/2025













