RMK13 tak seimbang antara Pantai Timur dan Barat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) membidas ketidakseimbangan perancangan pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan hari ini.

- Advertisement -

Beliau memulakan perbahasan dengan memetik surah al-A‘raf ayat 96, mengingatkan bahawa kemajuan fizikal mesti diiringi pembangunan spiritual agar negara mendapat keberkatan.

Menurutnya, jurang pembangunan wilayah kian melebar apabila sasaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu diturunkan daripada 6.6 peratus dalam RMK12 kepada hanya 4.8 peratus bagi RMK13, meskipun negeri itu menjadi penyumbang utama hasil petroleum negara.

“Negeri kaya sumber seperti Terengganu sepatutnya lebih maju, namun akibat pengagihan hasil petroleum yang tidak adil, keadaan berlaku sebaliknya.

“Sewajarnya diletakkan sasaran KDNK yang lebih tinggi berbanding RMK12, ia sekali gus menjadi persoalan besar kepada komitmen kerajaan untuk menyeimbangi jurang pembangunan antara di wilayah Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Ironiya jika negara jika di negara luar, negeri yang mempunyai hasil sumber asli seperti petroleum jauh lebih kaya berbanding dengan negeri yang tidak mempunyai hasil,” ujarnya.

Shaharizukirnain turut kesal apabila projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang diperjuangkan sejak RMK9 tidak dimasukkan dalam RMK13, sedangkan kosnya kini melonjak daripada RM2.89 bilion hampir 20 tahun lalu kepada RM9.8 bilion.

“Tidak dinafikan Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa dan hasil yang besar kepada Kerajaan Persekutuan, pendapatan dan hasil kepada negeri pula amatlah sedikit,” jelas beliau.

Beliau mempersoalkan sikap kerajaan yang sanggup membiayai sepenuhnya projek LRT Mutiara Line bernilai RM17 bilion, tetapi mengabaikan infrastruktur strategik Pantai Timur.

“Pendapatan dan hasil negeri disalurkan ke Persekutuan, tetapi pulangannya tidak setimpal. Sebagai contoh, pelancongan Terengganu mencatat 7.8 juta pelancong tahun lalu melebihi sasaran, namun hasilnya majoriti dinikmati Persekutuan.

“Sampai bila keadaan akan berlaku sedemikian rupa ,projek-projek pembangunan Pantai Timur dan Pantai Barat tidak seimbang, hasil pula tidak dikembalikan secara adil kepada ke negeri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyokong cadangan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) untuk menubuhkan sebuah badan bebas bagi menilai dan menyalurkan peruntukan secara adil, seperti amalan Commonwealth Grant Commission di Kanada, demi memastikan pembangunan wilayah yang seimbang. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -