
KUANTAN: Pemuda PAS dan Armada BERSATU Pahang hari ini sepakat memperkukuh kerjasama strategik menerusi misi Teraju Pahang sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pertemuan itu diketuai Ketua Pemuda PAS Pahang, Zulfadli Zakariah, manakala Armada BERSATU Pahang diwakili ketuanya, Muhammad Fareed Tarmizi.
Zulfadli berkata, kerjasama itu dibina atas asas kepentingan rakyat khususnya anak muda, bagi memastikan Pahang dipimpin oleh kepimpinan yang bersih, berintegriti, dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
“Misi Teraju Pahang adalah manifestasi semangat baharu untuk membawa perubahan yang lebih baik, di mana setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pentadbiran yang adil, telus, dan berkesan.
“Pemuda PAS dan Armada BERSATU percaya bahawa gabungan kekuatan tenaga muda daripada pelbagai latar belakang adalah aset penting untuk membina Pahang yang maju dan sejahtera.
“Justeru, pelbagai program bersama akan dirangka, termasuk agenda pendidikan politik, advokasi isu-isu rakyat, pengukuhan jentera pilihan raya, serta pembangunan ekonomi belia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, gabungan itu diyakini mampu menjadi kuasa baharu yang mengubah landskap politik Pahang ke arah lebih baik.
“Kami menolak politik perpecahan, fitnah, dan pembodohan rakyat yang menjadi amalan segelintir pihak. Sebaliknya, fokus utama kami adalah memastikan rakyat Pahang mendapat pentadbiran yang benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat, mengutamakan kebajikan, dan membangunkan negeri ini dengan sumber yang ada secara berhemah.
“Dengan izin Allah, gabungan ini akan menjadi kuasa baharu yang mampu mengubah landskap politik Pahang ke arah lebih baik. Anak muda bukan sekadar penonton kami adalah penggerak perubahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











