Darul Abrar jadi pusat latihan imam, pengurusan jenazah

- Advertisement -

KANGAR: Institusi masjid di Perlis terus diperkasa apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyerahkan pengurusan Darul Abrar, Kubang Gajah kepada Jamiyah Imam dan Pegawai Masjid Negeri Perlis.

- Advertisement -

Menerusi penyerahan tersebut, ia sekali gus menjadikannya sebagai pusat latihan, pembelajaran dan pengurusan jenazah bagi kawasan Arau.

Penyerahan bersejarah itu disaksikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, dengan simbolik disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs melakukan penyerahan itu kepada Yang Dipertua Jamiyah Imam dan Pegawai Masjid Negeri Perlis, Fadzil Ahmad.

Keberangkatan baginda disambut Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan dan Setiausaha MAIPs, Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor serta Imam Besar Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar Al-Hafiz.

Turut berangkat cucunda Raja Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Bangunan Darul Abrar yang dahulunya merupakan masjid lama, kini diubah suai menjadi pusat serba guna, bukan sahaja menguruskan jenazah, tetapi juga menjadi pusat pembangunan modal insan bagi imam dan pegawai masjid seluruh Perlis.

Dengan kerjasama strategik Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), pusat ini dirancang sebagai medan latihan, wacana ilmiah, serta perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan masjid.

Langkah ini diyakini mampu memperkukuh kedudukan imam sebagai pemimpin rohani dan sosial yang berperanan aktif dalam komuniti.

Selain itu, pewujudan pusat latihan ini menggambarkan komitmen MAIPs dalam memanfaatkan aset wakaf secara optimum, bukan sekadar disimpan, malah dihidupkan fungsinya untuk memberi manfaat berterusan kepada rakyat.

Pendekatan ini seiring aspirasi membangunkan kesejahteraan ummah melalui ilmu, kemahiran, dan kepimpinan berteraskan masjid.

Usaha memperkukuh masjid sebagai pusat komuniti dinamik dan berdaya maju inilah yang menjadi kunci kepada pembinaan masyarakat Islam yang kuat, berilmu, dan bersatu hati. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -