
KUALA LUMPUR: Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) menyambut baik usaha kerajaan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape dan menggesa pelaksanaannya dipercepatkan.
Membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini beliau menegaskan, ia memandangkan statistik penggunaannya, khususnya dalam kalangan anak muda, semakin membimbangkan.
“Negara jiran seperti Singapura dan Thailand telah lama mengharamkan vape demi melindungi rakyat mereka. Tiada lagi alasan untuk kita menangguhkan perkara ini,” tegas.
Beliau turut menyeru seluruh Ahli Parlimen bersolidariti menuntut keadilan bagi arwah adik Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia dipercayai akibat buli.
Katanya, kes-kes buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi mesti dihentikan dengan usaha serius semua pihak.
“Jangan biarkan lagi kes seperti arwah Zulfarhan, Jackson Nuing Awe, arwah Shamsul Harris dan terbaru arwah Zara Qairina berulang,” tegasnya.
Menyentuh pembangunan di Setiu, beliau membangkitkan isu 17 lot tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang masih belum dimajukan.
Menurut beliau, lapan daripadanya telah diperuntukkan untuk projek Kementerian Pendidikan, dan beliau mencadangkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di daerah itu.
Shaharizukirnain turut menegaskan perlunya jabatan-jabatan penting seperti PERHILITAN, JPJ dan LHDN diwujudkan di Setiu, selain pembinaan kompleks persekutuan bagi menempatkan pejabat kerajaan yang kini masih menyewa di premis rumah kedai.
Beliau juga menggesa pelaksanaan segera projek perumahan Sungai Bari yang telah diperuntukkan tanah seluas 40 ekar, serta memohon agar kerosakan akibat pembinaan ECRL dipulihkan segera, termasuk masalah banjir yang timbul.
“Saya tidak menolak ECRL, tapi saya mohon agar kerajaan serius untuk memastikan bahawa kesan akibat pembinaan infrastruktur tidak membebankan rakyat khususnya rakyat di daerah Setiu,” tegasnya.
Selain itu, beliau mahu kerajaan menyegerakan projek naik taraf jalan mendap bernilai RM88 juta dan pelebaran jalan dari Sungai Tarung ke Bandar Permaisuri.
Selain gesanya, menyediakan pelan kontingensi beserta dana kecemasan menghadapi musim banjir dan isu hakisan pantai, khususnya di Pangkalan Maras dan Rusila, Marang.
“Saya dimaklumkan pihak JKR telah mengangkat cadangan untuk menaik taraf jalan mendap di daerah Setiu dengan kos sebanyak RM88 juta.
“Saya ingin mengetahui status terkini berkenaan permohonan projek tersebut dan juga status terkini perlebaran jalan raya daripada Sungai Tarung ke Bandar Permaisuri,” kata beliau.
Beliau juga memohon agar kerajaan mewujudkan Pelan Kontingensi dengan menyediakan dana kecemasan untuk menghadapi isu ini agar apabila berlakunya isu kecemasan seperti ini ianya telah tersedia dan boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa rakyat dengan segera.
“Minggu lalu proses penggalian semula jenazah di Pengkalan Maras akibat daripada hakisan di mana 100 jenazah dipindah ke perkuburan lain akibat hakisan pantai, sebanyak 16 struktur pemecah ombak, walaupun sudah dibuat tapi masih belum dapat disiapkan sepenuhnya.
“Sila sediakan payung sebelum hujan, isu hakisan ini juga menghantui penduduk di sekitar pantai Rusila, Marang. Saya mohon agar kerajaan segera mempertimbangkan pembinaan ‘breakwater’ untuk mengatasi isu hakisan di kawasan tersebut,” ujar beliau.
Akhirnya, beliau menegaskan RMK13 mesti menjunjung semangat federalisme dan memastikan pembangunan seimbang antara wilayah Timur dan Barat negara, tanpa dipengaruhi amalan politik berat sebelah. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











