Polis akan roboh 128 jeti haram di Sungai Golok

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Polis akan merobohkan 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok selepas menerima kelulusan kerajaan negeri, kata Ketua Polis Kelantan, Dato’ Mohd Yusoff Mamat.

- Advertisement -

Menurut beliau, jeti berkenaan dibina secara haram oleh penduduk tempatan dan telah wujud sejak turun-temurun, ujarnya selepas melawat sempadan Kelantan-Thailand, di sini hari ini.

“Saya baru menerima surat daripada kerajaan negeri yang membenarkan polis merobohkan 128 jeti haram termasuk sebahagian di tanah persendirian.

“Kos bagi merobohkan setiap jeti dianggarkan antara RM1,500 hingga RM5,000. Polis dengan bantuan agensi berkaitan akan melaksanakan kerja tersebut dalam masa terdekat,” ujarnya.

Beliau berkata jeti berkenaan terletak di sepanjang 91 kilometer sempadan di sini dan di Rantau Panjang.

“Jeti itu sudah wujud sejak berdekad-dekad, malah ada yang mempunyai tangga konkrit.

“Walaupun kita tidak dapat menghentikan sepenuhnya aktiviti penyeludupan di sempadan, sekurang-kurangnya ia dapat dikurangkan secara berperingkat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -