
KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) mencadangkan kuota penduduk Melayu atau Bumiputera di Ibu Negara dinaikkan kepada 70 peratus berbanding 40 peratus yang ditetapkan dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040.
Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, cadangan menaikkan kuota itu dibuat selepas mengambil kira peratusan penduduk Bumiputera di peringkat nasional yang jauh lebih tinggi, iaitu 69.9 peratus berdasarkan statistik 2024.
Menurut beliau, penetapan kuota 40 peratus dianggap tidak logik kerana ia terlalu rendah berbanding komposisi sebenar penduduk negara dan berisiko menyebabkan sebahagian besar Bumiputera terkeluar daripada bandar raya Kuala Lumpur.
“Dengan kuota itu, baki 29.9 peratus Bumiputera akan terkeluar dari bandar raya Kuala Lumpur,” ujarnya turut menegaskan walaupun penduduk Bumiputera di Kuala Lumpur kini melebihi 40 peratus, ia masih jauh lebih rendah daripada peratusan nasional.
Malah Iskandar berkata, berkemungkinan menurun jika proses pembaharuan semula tanpa kawalan berlaku, khususnya apabila harga hartanah yang ditawarkan tidak mampu dibeli oleh Bumiputera.
Sehubungan itu REACH jelasnya, mencadangkan kuota penduduk dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 diselaraskan kepada 70 peratus supaya komposisi kaum di Ibu Negara melambangkan komposisi kaum negara secara keseluruhan.
Iskandar turut mengingatkan bahawa antara usaha kerajaan selepas tragedi 13 Mei 1969 adalah menghapuskan pengenalan kaum mengikut pekerjaan, dan perkara sama perlu dilakukan terhadap pengenalan kaum mengikut tempat tinggal demi mewujudkan perpaduan nasional.
Beliau yang juga bekas Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor menegaskan, pelaksanaan kuota Bumiputera di Kuala Lumpur adalah sebahagian usaha ke arah matlamat tersebut.
Dalam pada itu, REACH kupasnya, menggesa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera Islam bersuara dalam isu ini serta menyokong cadangan kuota 70 peratus.
“Jangan hanya bersuara apabila nasi telah menjadi bubur,” peringat beliau yang juga Bendahari PAS Pusat.
Dewan Pemuda PAS Selangor dalam pada itu menzahirkan bantahan terhadap pandangan bahawa cadangan kuota 40 peratus Bumiputera di Kuala Lumpur sudah tidak lagi relevan, dengan menyifatkan kenyataan itu mengabaikan fakta sejarah dan realiti sosial negara.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, pandangan tersebut juga berisiko menggugat prinsip asas pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan, hak dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak adalah jaminan Perlembagaan yang tidak terikat kepada tempoh masa.
“Ia bukan sasaran sementara, tetapi instrumen dasar untuk memastikan keseimbangan sosioekonomi negara. Kuota perumahan atau populasi Bumiputera di kawasan strategik seperti Kuala Lumpur adalah sebahagian usaha memelihara keseimbangan ini,” ujarnya.
Mengulas data yang menunjukkan populasi Bumiputera di Kuala Lumpur kini mencecah 47.4 peratus, Mohamed Sukri menegaskan angka itu tidak menggambarkan realiti penguasaan ekonomi, pemilikan hartanah atau akses peluang setara.
“Ramai Bumiputera di Kuala Lumpur tinggal di rumah sewa, kawasan berpendapatan rendah, dan terpinggir dari pusat bandar akibat tekanan harga hartanah yang melonjak. Tanpa mekanisme kuota, jurang ini akan melebar,” dedahnya.
Beliau berkata, Kuala Lumpur bukan sekadar ibu negara tetapi nadi ekonomi Malaysia, dan mengurangkan kehadiran Bumiputera di pusat ini bermakna melemahkan akses mereka kepada peluang strategik, jaringan perniagaan, serta kemudahan ekonomi yang menjadi pemacu mobiliti sosial.
Jelasnya, kuota bukan bermaksud menafikan hak kaum lain, tetapi memastikan tiada komuniti yang ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
“Tanpa dasar ini, sejarah telah membuktikan Bumiputera akan terpinggir akibat pasaran bebas yang dikuasai pemodal besar,” kupas beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Malaysia.
Beliau menegaskan, jika sasaran 40 peratus telah dilepasi, dasar itu boleh diperhalusi untuk fokus kepada pemilikan, kualiti hidup, dan penyertaan ekonomi, bukannya dihentikan.
“Menamatkan dasar kerana angka sudah dicapai adalah logik yang silap kerana cabaran sebenar ialah mengukuhkan kedudukan agar tidak merosot semula,” tegasnya.
Mohamed Sukri berkata, mempertahankan kuota Bumiputera di Kuala Lumpur adalah mempertahankan kontrak sosial, kestabilan negara, dan masa depan ekonomi rakyat.
“Sebarang usaha melemahkan dasar ini adalah langkah mundur yang mengundang ketidakseimbangan sosial dan perpecahan nasional,” peringatnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











