
KUALA LUMPUR: Kes kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir melahirkan gesaan Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor dan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah yang menuntut siasatan telus serta reformasi menyeluruh sistem pendidikan negara.
Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan menegaskan, pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti menjalankan siasatan bebas tanpa campur tangan pihak berkepentingan.
Beliau menuntut enam langkah segera termasuk siasatan telus, tindakan undang-undang setimpal terhadap semua pihak terbabit, pengumuman hasil siasatan kepada umum, serta perlindungan kepada saksi dan keluarga.
Juga gesanya, pengukuhan mekanisme perlindungan pelajar, serta reformasi dasar dan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan sekolah.
“Setiap nyawa adalah amanah Allah yang wajib dipelihara. Kegagalan melindungi mereka adalah kegagalan kita sebagai sebuah masyarakat yang beradab. Keadilan untuk Zara adalah keadilan untuk semua anak Malaysia,” tegasnya.
Ketua Muslimat PAS Kedah, Dato’ Siti Ashah Ghazali turut menyuarakan kebimbangan terhadap siri kematian pelajar yang mencetuskan tanda tanya pernah terjadi sebelum ini selain daripada Sara Qairina di sebuah sekolah di Sabah.
Beliau merujuk kes Allahyarham Zulfarhan Osman mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan terkini pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris.
“Nama-nama seperti Zara Qairina, Syamsul Haris dan Zulfarhan Osman bukan sekadar statistik. Mereka adalah anak muda yang pernah punya harapan, impian, dan masa depan. Namun, semuanya diragut oleh sistem yang gagal melindungi mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, menegaskan Malaysia tidak boleh lagi bertolak ansur dengan budaya buli, penderaan, dan pengabaian dalam sistem pendidikan.
Justeru ujarnya, reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan meliputi polisi anti-buli yang jelas, latihan kesedaran kepada guru dan pelajar, sistem sokongan psikologi, saluran aduan selamat, serta tindakan disiplin yang telus.
“Malaysia tidak akan maju jika anak-anak muda kita terus menjadi mangsa kepada sistem yang lemah. Reformasi sistem pendidikan negara bukan lagi pilihan tetapi adalah keperluan,” tegasnya lagi.
Kes Zara Qairina menjadi perhatian umum apabila mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah dan dipercayai menjadi mangsa buli.
Perkara itu mengundang tanda tanya apabila arwah dikebumikan tanpa bedah siasat, sehingga kuburnya terpaksa digali semula demi proses mencari keadilan.
Kedua-dua pemimpin Muslimat PAS itu sepakat bahawa tragedi seperti ini tidak boleh berulang dan kes Zara mesti menjadi titik tolak perubahan bagi memastikan institusi pendidikan di negara ini lebih selamat, berperikemanusiaan dan bermaruah. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











