
KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) membidaskan dakwaan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berhubung pengurusan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebagai tidak tepat.
Beliau berkata, semalam Setiawangsa memberi maklumat yang tidak begitu tepat apabila mendakwa PASTI berlaku tidak adil kepada guru-guru dengan hanya memberi gaji RM600 hingga RM700 atas alasan sukarela.
“Dia kata kita bagi gaji RM600, RM700 sahaja atas alasan sukarela. Kita bukan bagi gaji, kita bagi elaun sukarela. Gaji guru ini disamakan dengan syarikat swasta. Dia kata kalaulah PASTI dianggap sukarela, maka syarikat swasta pun nanti akan guna istilah sukarela.
“Saya nak tegaskan, tuduhan Setiawangsa ini tak betul dan jauh menyimpang daripada apa yang sebenar berlaku. Saya rasa dia tak buat ‘homework’ macam PMX. PMX buat ‘homework’ bagus, dia tak buat ‘homework’. Patut sebab itu dia kalah pemilihan,” bidasnya.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia menjelaskan, guru PASTI berkhidmat tanpa meminta imbuhan ketika mula-mula hadir memohon untuk berkhidmat di premis berkenaan.
“Mereka kata kami nak berkhidmat dengan ikhlas. Kita beritahu dekat dia, kita elaun tak boleh bayar mahal sebab yuran kita rendah. Dia kata tak apa, kami nak sumbang tenaga.
“Keikhlasan guru-guru inilah yang membantu masyarakat kita kenal ABC, kenal alif ba ta. Sepatutnya Setiawangsa berterima kasih kepada kita membantu melengkapkan institusi pendidikan prasekolah di peringkat kerajaan.
“Setiawangsa juga sebut guru PASTI tak mencarum KWSP, PERKESO. Saya nak beritahu kepada Setiawangsa, tak betul. Guru PASTI kita mencarum KWSP di bawah skim i-Saraan. Guru PASTI kita carum PERKESO di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri. Ada caruman,” dedahnya.
Beliau mempersoalkan sebab Ahli Parlimen Setiawangsa begitu berminat bercakap mengenai PASTI dan menawarkan kepada wakil rakyat itu untuk duduk di PASTI secara percuma jika mahu belajar di situ.
“Sepatutnya Setiawangsa bercakap tentang elaun guru KAFA, elaun guru takmir, elaun imam yang dilaporkan masih di bawah paras gaji minima. Ini semua tanggungjawab kerajaan. Boleh jadi Setiawangsa rasa dia dah pembangkang, bukan lagi jadi kerajaan,” katanya.
Beliau menutup ucapannya dengan rangkap pantun.
Bunga melati harum baunya,
Tumbuh mekar di tepi titi,
Orang dibenci kerana dosanya,
Dosa sendiri buat tak reti.
Bunga mawar mekar berseri,
Harum sampai ke pintu kota,
Lidah bercakap jangan mungkiri,
Janji dipegang kata dikota. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











