Hutang negara makin tinggi, jangan kelirukan rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut), meminta kerajaan agar tidak mengelirukan rakyat berhubung status hutang negara yang dilihat terus meningkat walaupun dikatakan berkurangan.

- Advertisement -

Beliau berkata, hutang Kerajaan Persekutuan setakat Jun tahun ini mencecah RM1.3 trilion, naik daripada RM1.25 trilion pada akhir tahun lalu.

“Yang berkurang cuma jumlah baharu yang dipinjam, bukannya jumlah hutang keseluruhan. Kita lihat zaman Dato’ Sri Najib Razak dulu hutang RM686 bilion pun dimaki hamun.

“Sekarang hutang sudah lebih RM1 trilion, dikatakan hutang berkurang, ini satu kenyataan yang tak betul,” bidasnya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Mohamad turut mengimbas hutang negara pada era pentadbiran terdahulu iaitu RM539 bilion pada 2013, RM582 bilion (2014) dan RM686 bilion (2015), sebelum melonjak kepada RM1.08 trilion pada 2022, RM1.17 trilion (2023) dan RM1.3 trilion tahun ini.

Dalam pada itu, beliau juga membangkitkan isu tatakelola serta dakwaan rasuah, termasuk laporan Bloomberg yang mendakwa campur tangan Perdana Menteri dalam menghalang siasatan terhadap seorang individu bernama Farhash Wafa.

Bloomberg sehingga kini tidak pernah disaman berhubung dakwaan itu. Banyak lagi isu nepotisme dan salah guna kuasa yang kerajaan perlu jawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -