PAS, BERSATU kukuh taawun persiap teraju Pahang

- Advertisement -

KUALA KRAU: PAS dan BERSATU Pahang selaku komponen Perikatan Nasional (PN) memperkukuhkan ‘taawun siyasi’ atau kerjasama politik sebagai persiapan “PN Teraju Pahang” menerusi satu pertemuan khas yang diadakan.

- Advertisement -

Majlis bersejarah tersebut melibatkan pimpinan utama PAS dan BERSATU Negeri serta Kawasan dan Bahagian seluruh parlimen negeri ini dalam pertemuan yang telah berlangsung di Kerdau, Temerloh, di sini kelmarin.

Selain bertujuan memperkenalkan kepimpinan baharu yang telah dipilih di peringkat Kawasan dan Bahagian masing-masing, pertemuan ini juga mempertemukan komitmen PN untuk terus menjadi alternatif terbaik rakyat di Pahang.

Pesuruhjaya PAS, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Ketua BERSATU, Dato’ Abdul Khalib Abdullah memimpin pertemuan yang menyerlahkan semangat perpaduan serta penerusan kerjasama strategik ke arah cita-cita menerajui negeri ini.

Antara dibincangkan kedua pihak secara terperinci termasuk kebersamaan untuk menjayakan program Himpunan 30,000 (H30K) Hogoh Jelai yang bakal berlangsung di Bentong pada 18 dan 19 September depan.

Program mega tersebut akan menjadi platform kedua-dua parti menyampaikan mesej bersama PN Pahang kepada rakyat terhadap misi dan visi pemerintahan yang lebih baik untuk negeri itu di bawah teraju PN kelak.

“PAS Negeri Pahang yakin bahawa pertemuan ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkasakan agenda perjuangan bersama antara PAS dan BERSATU di peringkat negeri.

“Kami berharap kerjasama yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan dan menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Khususnya dalam usaha mengembalikan kepercayaan rakyat Pahang dan Malaysia kepada kepimpinan Perikatan Nasional,” ujar kenyataan PAS Pahang. – *HARAKAHDAILY 12/8/2025*

- Advertisement -