
KUALA LUMPUR: Tragedi yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pada 16 Julai lalu merupakan satu tamparan hebat terhadap sistem pendidikan dan keselamatan pelajar di negara ini.
Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berkata, kes itu membuktikan bahawa isu buli bukan lagi sekadar masalah disiplin, sebaliknya kegagalan sistemik yang berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh.
“Saya menuntut ketelusan, keadilan serta reformasi menyeluruh melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak polis (PDRM).
“Saya menggesa penggantungan pegawai cuai dan penubuhan suruhanjaya siasatan bebas. Keadilan untuk Zara adalah keadilan untuk seluruh anak-anak Malaysia, termasuk juga pelajar-pelajar IPT (Institut Pengajian Tinggi).
“Kita tidak boleh lagi membiarkan nyawa pelajar menjadi korban akibat kelemahan dan kelalaian institusi. Sudah tiba masanya kita mengangkat isu ini dengan sangat serius bukan hanya dengan kata-kata, tetapi melalui tindakan dan reformasi sebenar sebagaimana yang dilaung-laungkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Abdul Latiff dalam pada itu membangkitkan persoalan tentang kualiti lencana Jalur Gemilang yang dipakai pelajar di bawah kendalian KPM, yang dikatakan menelan belanja sekitar RM8.4 juta.
Jelas beliau, kualiti lencana tersebut dipercayai terlalu teruk sehingga memaksa ibu bapa membeli sendiri sebagai gantian kerana rosak dan tidak selamat dipakai, sekali gus merosakkan pakaian.
“Dalam masa yang sama saya ingin menanyakan relevannya pemakaian Jalur Gemilang kepada pelajar sekolah ini untuk menyatakan rasa kecintaan kepada negara.
“Sedangkan isu pemasangan bendera terbalik dilakukan oleh mereka di kalangan orang-orang tua yang tidak pernah cuba memahami dan mengerti makna sebenar kecintaan kepada negara.
“Bahkan isu pemasangan bendera terbalik ini sentiasa berulang. Jadi usaha-usaha untuk menangani isu ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2025











