
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mencadangkan kerajaan supaya segera membuat pindaan terhadap Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan bagi menghadkan kuasa dan budi bicara Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, langkah itu bakal menghadkan kuasa diperuntukkan kepada Tan Sri Johari Abdul berbanding menyerahkan sepenuhnya kepada Mahkamah untuk membuat keputusan.
Kenyataan tersebut merujuk pemecatan enam Ahli Parlimen oleh BERSATU kerana menyatakan sokongan kepada kerajaan biarpun statusnya masih mewakili blok pembangkang.
“Saya ingin mencadangkan kerajaan hari ini ataupun kerajaan akan datang jika ada kerajaan selepas ini segera membuat pindaan kepada Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan kuasa Speaker Dewan.
“Ini akan mengembalikan kuasa tafsiran undang-undang berkaitan penentuan status kekosongan kerusi kepada mahkamah sebagaimana mahkamah diberi kuasa memutus isu melibatkan proses pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh lima tahun, bermula 2026 sehingga 2030 sempena Persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Takiyuddin berkata, kegagalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengisytihar status kekosongan enam kerusi parlimen terbabit dengan pelbagai alasan dilihat bercanggah dengan peruntukkan Perlembagaan.
Menerusi pindaan tersebut beliau berkata, sistem perundangan negara akan bersih dari sebarang kekaburan dalam tafsiran undang-undang yang tidak memberi manfaat, melainkan pihak berkepentingan.
“Dengan cara ini kita yakin negara kita terhindar daripada ketidaktentuan tafsiran undang-undang yang tidak menguntungkan sesiapa sahaja melainkan mereka yang lebih berminat menangguk di air keruh.
“Kita juga mahu dengan pindaan ini dibuat akan menjadi kita negara Malaysia yang lebih maju dan menghayati nilai tahap peradaban yang tinggi, saya mohon mencadangkan terima kasih,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Speaker Dewan Rakyat memaklumkan bahawa enam Ahli Parlimen yang dipecat oleh BERSATU kerana menyokong Perdana Menteri masih mewakili pembangkang di Dewan Rakyat.
Menurut Tan Sri Johari Abdul, keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat.
Mereka ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – HARAKAHDAILY 12/8/2025











