Zara Qairina: Harap laporan kematian kemuka di Parlimen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berharap agar kerajaan dapat mengemukakan laporan terperinci mengenai kematian Zara Qairina Mahathir di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Menurutnya, tragedi itu mendapat perhatian beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang yang menuntut penjelasan pihak berkuasa mengenai kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak polis mengenai proses bedah siasat ke atas jenazah Allahyarhamah Zara Qairina yang gagal dilaksanakan di peringkat awal susulan kematian pelajar itu dilaporkan.

“Saya ingin menyentuh perkara ini bahawa proses ‘post-mortem’ ini sepatutnya diadakan tanpa apa-apa permintaan daripada mana-mana pihak, ‘there is standard procedure’ di dalam kes kematian mengejut ataupun kematian.

“Kes seperti ini perlu diadakan ‘post-mortem’ ni kita nak tahu kenapa pihak polis tidak menjalankan ‘post-mortem’ ini selepas kematian ini dilaporkan di sini,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) ketika mencelah bertanyakan sama ada Takiyuddin bersetuju cadangan untuk menggesa siasatan dibuat bagi mengetahui punca kelemahan dalam siasatan terdahulu.

Dalam masa sama beliau turut meluahkan penghargaan terhadap keputusan Ketua Polis Negara bagi menubuhkan pasukan khas dari Bukit Aman untuk menjalankan siasatan berhubung kes kematian Zara.

“Setujukah Kota Bharu kalau kita menggesa agar Ketua Polis Negara turut mengarahkan siasatan yang menyeluruh berkenaan punca berlakunya kelemahan dan intipati kelemahan dalam siasatan yang terdahulu.

“Setujukah Yang Berhormat Kota Bharu supaya siasatan ini merangkumi perkara-perkara seperti mengenal pasti pegawai dan anggota polis terlibat siasatan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna ini?” soalnya.

Sementara itu Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pula bangun bertanyakan sama ada Takiyuddin setuju dua kementerian bertanggungjawab dan diminta meletak jawatan susulan kejadian tragis itu.

“Dua kementerian terlibat ini iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), setuju ke kalau yang kedua-dua jawatan menteri ini meletak jawatan atas kegagalan?” soalnya.

Setiausaha Agung PAS Pusat itu kemudiannya meminta supaya perkara yang dibangkitkan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu dimasukkan ke dalam ucapan perbahasan beliau.

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menghantar satu pasukan bagi melaksanakan siasatan ke Ibu Pejabat Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian Zara.

Jenazah dibedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth semalam selepas digali semula dari kubur pada petang Sabtu dan dikebumikan semula tengah malam semalam di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi, Sipitang.

Allahyarham sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di hospital sehari kemudian. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -