Peruntuk RM600,000 untuk projek tanah terbiar

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sejumlah RM600,000 bagi Projek Pembangunan Tanah Terbiar tahun 2025 dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dan pendapatan pengusaha di seluruh negeri.

- Advertisement -

Peruntukan itu disalurkan melalui Jabatan Pertanian Negeri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan, melibatkan 62 pengusaha projek tanah terbiar di semua jajahan.

Setiap penerima menerima insentif dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan masing-masing berdasarkan pengesyoran teknikal pihak jabatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Ustaz Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, projek ini akan dapat memaksimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar di negeri ini serta memperkukuh sekuriti makanan negara.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memanfaatkan sebahagian besar tanah yang tidak diusahakan agar dapat digunakan sepenuhnya demi kepentingan ekonomi rakyat dan bekalan makanan negeri,” ujarnya.

Sehingga kini, 4,814.83 hektar tanah terbiar telah dikenal pasti di seluruh Kelantan, dengan sebahagian daripadanya sesuai untuk bercucuk tanam.

Majlis penyerahan insentif hari ini melibatkan 51 lokasi projek di sembilan jajahan. – HARAKAHDAILY 12/8/2025

- Advertisement -