Pengumuman PM gula-gula politik, bukan polisi mapan

Mohamad Firdaus Adnan
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menyifatkan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kelmarin sebagai satu bentuk ‘gula-gula politik’ menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.

- Advertisement -

Ketua Penerangan, Mohamad Firdaus Adnan berkata, pengumuman itu hanya memberikan kelegaan sementara kerana ia merupakan penyelesaian jangka pendek yang tidak menyentuh punca sebenar masalah rakyat dan negara.

“Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 secara ‘one-off’ hanya memperlihatkan kerajaan ketandusan idea untuk menyelesaikan masalah kos sara hidup secara sistemik.

“RM100 untuk tempoh setahun, tidak sampai pun RM10 sebulan adalah tidak munasabah dalam keadaan inflasi, kenaikan harga barang, dan ketidaktentuan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pengisytiharan cuti umum tambahan pada 15 September 2025 dianggap sebagai tindakan populis tanpa memberi nilai tambah kepada produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.

“Langkah kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol mungkin melegakan pengguna lebuh raya, namun beban kewangan lebih RM500 juta tetap dipindahkan kepada kerajaan, yang akhirnya ditanggung rakyat juga melalui cukai dan pinjaman negara.

“Pengumuman harga petrol RON95 RM1.99 seliter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi masih belum jelas dari segi mekanisme. Tanpa sistem penyasaran yang telus dan kukuh, rakyat berisiko berhadapan kekeliruan.

“Ketirisan subsidi dan manipulasi harga oleh pihak berkepentingan. Kerajaan perlu sedar, rakyat mahukan dasar berimpak jangka panjang, bukan retorik populis,” ujarnya.

Justeru, pihaknya menyeru kerajaan agar memberikan fokus kepada pembangunan ekonomi sebenar dan tidak hanya bergantung kepada bantuan bersifat sekali beri, di samping memperkenalkan dasar ekonomi Islam yang adil dan seimbang.

“Menyediakan pelan jangka panjang untuk kestabilan kos sara hidup dan peluang pekerjaan berkualiti. Kami teguh berpendirian bahawa rakyat Malaysia tidak sepatutnya dipancing dengan ‘gula-gula populis’.

“Sebaliknya perlu diperkasa dengan peluang, dasar mapan dan kepimpinan berintegriti. Negara ini tidak boleh dibangunkan dengan cuti dan sedekah politik, tetapi dengan dasar yang benar, telus dan berpihak kepada rakyat marhaen,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -