
KUBANG PASU: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang, Jitra yang merupakan antara projek infrastruktur air berimpak tinggi di Kedah kini mencatat kemajuan sebanyak 74.65 peratus, sedikit di bawah sasaran perancangan asal iaitu 76.18 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, Dato’ Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan.
“Secara keseluruhan, kemajuan adalah memuaskan walaupun terdapat sedikit kelewatan sekitar 1.53 peratus. Hampir semua struktur bangunan telah disiapkan kecuali bangunan ‘clear water tank’ dan rumah pam yang masih dalam pembinaan,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) akan menjadi tumpuan utama selepas ini, dan dijangka menyumbang kepada lonjakan kemajuan projek apabila pemasangan peralatan utama dilaksanakan.
Dalam pada itu, kerja-kerja pemasangan paip luar juga menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, dengan lebih 90 peratus siap setakat pertengahan Julai.
“Daripada keseluruhan 107 kilometer paip yang perlu dipasang, sebanyak 96 kilometer telah berjaya disiapkan. Baki hanya tinggal sekitar 10 kilometer,” katanya.
Mohammad Yusoff turut menyatakan keyakinan bahawa projek ini mampu disiapkan mengikut jadual lanjutan masa (EOT) yang ditetapkan sehingga Disember 2025.
“Kerajaan negeri berharap agar projek ini dapat disiapkan tepat pada masanya bagi memastikan rakyat dapat menikmati manfaat bekalan air bersih secara berterusan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











