
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan komited membangunkan ekosistem bakat anak muda menerusi latihan kepimpinan dan keusahawanan digital, sejajar dengan pelaksanaan Dasar Anak Muda Kelantan (DAMAK).
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad berkata usaha tersebut dilaksanakan melalui Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) dengan pelbagai pendekatan strategik.
“Usaha ini dilaksanakan melalui U-BeS dengan pelbagai pendekatan strategik yang menjurus kepada latihan kepimpinan, pembangunan keusahawanan serta penguasaan teknologi digital,” katanya.
Menurutnya lagi, pelbagai program telah dirangka selari dengan pelaksanaan Pelan Kelantan Futures State 2033 yang mengenal pasti 19 kuasa penggerak, antaranya pemerkasaan generasi muda bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa program latihan kepimpinan bagi membentuk generasi pemimpin muda yang berpandukan syariat Islam melalui penubuhan Kelantan Future Leaders Institute (KFLI),” ujarnya.
Beliau berkata, institut tersebut merancang dan melaksanakan program kepimpinan secara bersasar dan berstrategik.
Antara program utama ialah Kelantan Future Leaders Camp, Bootcamp dan Academy yang memberi latihan intensif kepada lepasan SPM serta mahasiswa untuk membina nilai rabbani, kefahaman tanggungjawab sosial dan kenegaraan.
Setakat ini, seramai 150 peserta telah menyertai Kelantan Future Leaders Camp manakala 139 lagi mengikuti Bootcamp.
Selain kepimpinan, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada bidang keusahawanan sebagai langkah menjadikan belia sebagai pemangkin ekonomi negeri.
Antara inisiatif tersebut termasuk program Kelantan Start-Up (K-Start) yang bertujuan menggalakkan keusahawanan dalam kalangan belia.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri melalui U-BeS, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) turut menganjurkan pelbagai kursus keusahawanan untuk anak muda,” katanya lagi.
Antara kursus tersebut ialah asas digital, kemahiran gunting rambut lelaki dan wanita, bekam, perbidanan, bakeri serta kulinari.
Program Kelantan Youth Digitalpreneur pula memberi fokus kepada pembangunan potensi belia dalam bidang keusahawanan digital menerusi pendekatan bimbingan tersusun.
Ia bertujuan membolehkan belia memanfaatkan platform digital dan teknologi e-dagang bagi menjana pendapatan secara mampan dan berdaya saing. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











