Intimidasi terhadap suara rakyat tanda kerajaan nak jatuh

Ahmad Fadhli ketika ditemui media di pekarangan pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
- Advertisement -

SEPANG: Tindakan intimidasi terhadap pempengaruh, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff merupakan bukti ketakutan pihak kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang berani menyuarakan pandangan mereka.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan tersebut dilihat tidak selari dengan prinsip perjuangan kerajaan yang sebelum ini mendukung kebebasan bersuara rakyat.

“Tak boleh nak tengok ada sedikit sebanyak posting-posting yang mempengaruhi rakyat, mereka kenakan tekanan dan intimidasi. Biasanya kalau buat macam ini, itu tandanya kerajaan nak jatuh,” katanya.

Tegas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, kerajaan dilihat menyalahgunakan kuasa dan bertindak terdesak susulan respon positif rakyat terhadap penganjuran Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.

“Kerajaan sebenarnya berada dalam persimpangan politik yang sangat dahsyat. Mereka cuba untuk nak gunakan pelbagai cara dan pelbagai kaedah untuk menafikan kebangkitan rakyat pada hari ini.

“Dan ini benar-benar merupakan insiden yang memberikan, mendedahkan wajah sebenar kerajaan kepada rakyat. Bila sampai ketika mereka berkuasa, mereka tindas pempengaruh-pempengaruh, sedangkan mereka ini rakyat biasa,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama turun menyertai Himpunan Turun Anwar sebagai tanda cinta kepada negara, dengan tidak membiarkan seorang pemimpin yang jelas telah melanggar etika kepimpinan.

“Sayang kita kepada negara ini dengan turun pada hari Sabtu ini untuk kita tunjukkan perasaan kita, tunjukkan sokongan kepada gerakan untuk menurunkan (Dato’ Seri) Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri. Jadikan PMX kepada X-PM sesegera yang mungkin,” katanya.

Terdahulu, Nurul Islam dilaporkan telah dipanggil oleh pihak SKMM untuk memberi keterangan berhubung hantaran di laman Facebook miliknya yang mengaitkan krisis politik di Thailand dengan Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -