Dilantik Profesor Adjung dan Ahli Lembaga UMK

- Advertisement -

KOTA BHARU: Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal menerima pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

- Advertisement -

Naib Canselor UMK, Prof Ir Ts Dr Arham Abdullah menyerahkan surat pelantikan tersebut dalam satu kunjungan hormat ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kelmarin.

Pelantikan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMK adalah bagi tempoh tiga tahun, mewakili komposisi masyarakat sebagaimana ditetapkan dalam Perlembagaan Universiti Malaysia Kelantan.

“Pelantikan ini amat saya hargai dan saya beriltizam menyumbang secara strategik kepada kemajuan universiti ini,” kata Tengku Mohamed Faziharudean .

Katanya lagi, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan institusi pendidikan tinggi perlu diperkukuh bagi menjayakan agenda kecemerlangan pendidikan negara.

“UMK memainkan peranan penting dalam membina daya saing bakat tempatan dan mendokong usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi di rantau ini,” ujarnya.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof Dr Mohammad Ismail dan Pendaftar UMK, Khairul Eruwan Abdul Halim serta Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMK, Mohd Adzwan Kamaruzaman. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -