‘Jangan halang rakyat luah perasaan’ – TG Ahmad Ali

- Advertisement -

ARAU: Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Tuan Guru Ahmad Ali menyeru rakyat Malaysia untuk hadir secara aman menyatakan suara hati mereka dalam Himpunan Turun Anwar (HTA) yang dijadual berlangsung esok, 26 Julai.

- Advertisement -

Dalam satu pertemuan dengan Harakah, beliau menegaskan bahawa rakyat tidak sepatutnya disekat daripada menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kerajaan yang sedia ada, khususnya terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Memang betul dari sudut prosedur biasa, menurunkan seorang pemimpin boleh dilakukan melalui usul undi tidak percaya dalam Parlimen. Tetapi bagaimana dengan hasrat rakyat yang masih ada dalam hati masing-masing, dia nak luah pada siapa, tak boleh kita kongkong sampai dia tak boleh nak luah perasan dia,” tegas beliau.

Menurut beliau, meskipun wakil-wakil rakyat telah menjalankan amanah dengan membawa suara dan amanat rakyat di Parlimen, tetapi masih ada lagi terkesan dalam hati rakyat yang perlu diluahkan.

“Tak elok kita halang rakyat nak berhimpun dan luah rasa tidak puas hati, selagi mana mereka patuh pada peraturan dan berhimpun secara aman,” katanya.

Beliau turut menyeru agar pihak kerajaan dan pihak keselamatan tidak menyusahkan rakyat yang ingin berhimpun, sebaliknya bersikap terbuka dalam menerima kritikan berpaksikan fakta dan realiti hidup rakyat marhaen.

“Jadi jangan menyusahkan rakyat yang nak pi tunjuk perasaan dia, dia nak kata bahawa kami tak puaih (puas) hati, sama ada Anwar nak teruih cara elok atau nak turun bagi orang lain buat kerja (ganti), kalau ada orang lain yang lebih elok.

“Rakyat tahu bahawa aset negara kita lebih daripada satu trillion dan kita punya ‘national income’ pun lebih daripada RM300 bilion, itu yang rakyat kata mana hak dia, harga barang dulu lain sekarang dah meningkat sampai enam kali ganda, macam mana penderitaan rakyat?” soal beliau.

Tuan Guru turut mengingatkan golongan anak muda agar hadir dengan semangat dan kawalan diri yang tinggi serta tidak melakukan sebarang tindakan melanggar undang-undang negara.

“Pemimpin kena terbuka. Ini soal amanah rakyat. Bila rakyat bersuara, itu tandanya mereka terkesan dengan janji-janji yang tidak ditunaikan dan kos sara hidup yang meningkat,” ujarnya lagi.

Beliau menzahirkan harapan agar himpunan ini berjalan secara aman, teratur dan diberkati Allah SWT, serta menjadi ruang demokratik untuk rakyat menyatakan suara hati secara sah dan terbuka.

“Mudah mudahan rakyat tidak terkongkong dan apa yang tersemat dalam hati dia benda-benda yang tak boleh nak luahkan terutama sekali bila kita kata kita berjalan mengikut lunas-lunas kebebasan demokrasi yang terkawal dengan baik,” katanya.

Himpunan Turun Anwar dijangka menarik ratusan ribu peserta daripada pelbagai latar belakang yang mahu menyatakan kekecewaan terhadap prestasi pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, khususnya dalam isu kos sara hidup dan janji-janji reformasi yang belum ditepati. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -