Festival Muzium Antarabangsa meriah di Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lebih 1,000 penggiat muzium dari seluruh negara serta negara jiran seperti Singapura dan Indonesia membanjiri Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2025 yang berlangsung meriah di Muzium Padi, Gunung Keriang, semalam.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, warisan perlu dijadikan teras pembangunan pelancongan negeri kerana ia bukan sekadar tinggalan masa lalu, tetapi pedoman untuk masa hadapan.

“Warisan bukan hanya milik masa lalu. Ia adalah amanah masa kini dan pelita untuk generasi akan datang. Muzium bukan sekadar tempat menyimpan sejarah, tetapi ruang interaktif yang menghidupkan semula budaya bangsa,” katanya.

Penganjuran edisi kali ini menyaksikan negeri Kedah sekali lagi diberi penghormatan sebagai tuan rumah, selepas kali pertama pada tahun 2016 di mana pemilihan itu, ujar Sanusi mengiktiraf peranan Kedah sebagai negeri bersejarah penting dalam pembinaan ketamadunan negara.

“Kesultanan Kedah yang berusia 889 tahun bukan sahaja menjadikan negeri ini antara yang tertua di Malaysia, bahkan institusi diraja tertua di dunia yang masih wujud. Ini bukan sekadar fakta sejarah, tetapi satu amanah besar untuk kita pelihara dan wariskan,” tambahnya.

FHMAPK 2025 menampilkan lima komponen utama alam semula jadi, gastronomi, seni dan budaya, sejarah serta pengalaman komuniti bagi memberikan pengalaman holistik kepada pengunjung dalam memahami identiti Kedah.

Antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung ialah pameran artifak, persembahan kebudayaan, bengkel seni, forum warisan serta program komuniti melibatkan penyertaan muzium dari seluruh negara.

Festival ini bukan sahaja memperlihatkan kepelbagaian budaya Malaysia, malah memperkukuh hubungan serantau dalam usaha memelihara warisan bersama.

Dalam ucapannya, Sanusi turut menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perpaduan Negara yang memperkenalkan Rang Undang-Undang Muzium Malaysia (RUUMM).

“Ini adalah langkah penting ke arah tadbir urus institusi muzium yang lebih profesional dan beretika, selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkasa Muzium Negeri Kedah sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan pemangkin pelancongan warisan.

“Inisiatif digitalisasi kandungan muzium juga akan diteruskan agar lebih inklusif serta relevan kepada generasi muda. Kami mahu muzium menjadi ruang terbuka yang mesra kepada semua dari kanak-kanak hingga warga emas, dari bandar hingga ke pedalaman,” ujarnya.

FHMAPK 2025 disifatkannya sebagai manifestasi kepada tema ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’ bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya, tetapi juga mengukuhkan jati diri kebangsaan.

“Saya menyeru kepada semua kontinjen muzium, penggiat warisan, pelajar dan pelancong, ambillah peluang ini untuk benar-benar ‘Mengalami Kedah’. Rasai kehangatan budayanya, keindahan alamnya dan kekayaan sejarahnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -