
KANGAR: Madrasah Addiniah Islamiah (MADI) terus mengukir sejarah apabila skuad sepak takraw bawah 18 tahunnya dinobatkan sebagai juara Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) 2025, yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini kelmarin dahulu.
Pasukan MADI mempamerkan prestasi luar biasa sepanjang kejohanan dengan menumpaskan setiap lawan tanpa kehilangan walau satu set pun, termasuk menewaskan pasukan pilihan, Kolej Vokasional (KV) Arau dengan keputusan meyakinkan 2-0 di pentas akhir.
Antara pemain tonggak yang menjadi sandaran kemenangan ialah Muhammad Mus’ab Azman, Muhammad Nabil Nuqman Nasir, Ku Muhammad Aliff Mohd Fisol, dan Muhammad Salihin Muhyi Mohd Shukri.
Kejayaan manis ini turut didorong oleh sentuhan taktikal dan kepimpinan jurulatih Abdul Hadi Abd Rahman, yang berjaya membentuk sebuah pasukan yang bukan sahaja berbakat, malah berdisiplin tinggi.
Dalam laluan ke kejuaraan, MADI mencatatkan keputusan memberangsangkan dengan menundukkan lawannya dengan mata 2-0 bagi setiap pusingan.
Bagi kategori bawah 15 tahun pula, MADI turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya mara ke pusingan kedua sebelum tewas kepada SMK Raja Perempuan Muda Tengku Fauziah.
Kejohanan ini menjadi medan penting dalam mencungkil bakat pelapis sukan sepak takraw negeri Perlis, selain menyemai nilai disiplin, semangat berpasukan dan kesukanan dalam kalangan pelajar.
Mengulas kejayaan itu, Setiausaha PAS Negeri Perlis, Wan Hassan Ismail berkata, kejayaan demi kejayaan ini adalah hasil kesungguhan, doa dan usaha berterusan semua pihak dan semoga terus istiqamah dalam perjuangan, sekali gus merakamkan tahniah.
Beliau berkata, pihak madrasah turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian ini yang membuktikan bahawa MADI bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut menyerlah dalam kokurikulum dan pembangunan sahsiah pelajarnya.
Untuk rekod MADI adalah sekolah di bawah pentadbiran Badan Perhubungan PAS Perlis. – HARAKAHDAILY 25/7/2025











