Paranoid Himpunan Turun Anwar: Bercermin pada dulang kencingan sang penguasa!

- Advertisement -

RAKYAT membilang jam, menghitung detik dengan sejuta harapan untuk himpunan mega Turun Anwar 26 Julai di Dataran Merdeka. Dua minggu terakhir ini sebelum acara bermula, pelbagai serangan saraf untuk menggagalkan himpunan rancak berlangsung. Cytro dan avatar parti kerajaan seperti bersiaga 24 jam menahan amarah rakyat, mencipta persepsi dan merekayasa naratif penyelamatan rejim yang kurang empat purnama genap tiga tahun memerintah.

Tiada dalam sejarah tanah air ini, sebuah kerajaan yang menuai kebencian dahsyat daripada rakyat. Asal muasalnya kerana mungkir janji serta konsisten bersilat lidah untuk melunaskan manifesto PRU15.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim kali ini seperti terkena sumpahan langit, amarah rakyat sudah tidak terbendung lagi empangannya. Dedak ditabur (istilah popular beliau semasa menjadi pembangkang) tidak lagi mampu menyihir rakyat, seperti kesan boomerang yang membaham tengkuk. Kesilapan politiknya fatal, antaranya mengajak Tun Dr Mahathir ke gelanggang atau kubangan politik. Kenyataan beliau dalam Parlimen, langsung dicabar balas oleh Tun agar diseret segera ke mahkamah untuk diadili dan Tun berjanji untuk tidak memohon imuniti.

Anwar cuba menunggang agamawan dengan pelbagai cicipan berita disensasikan ‘guru pondok’ Kelantan tidak bersetuju Anwar diturunkan dengan cara berhimpun. Segelintir elemen neo salafi pembodek Anwar juga bermain naratif bersyukur, juga avatar PH seminggu dua ini cuba menggelombangkan labelan Khawarij kepada penentang-penentang Anwar.

- Advertisement -

Bervariasi naratif gelap cuba dihidangkan kepada rakyat agar tidak hadir ke himpunan 26 Julai, seolah-olah negara tercinta ini selamanya tidak pernah ada bantahan awam berskala besar. Digegerkan seolah himpunan mega akan memicu anarki seperti negara Syria tahun 2012 yang berdepan dengan rejim Baath.

Asatizah yang jahil geo politik pula menjustifikasikan bantahan kepada kerajaan akan mengundang perbalahan yang menumpahkan darah sehingga terkait pengalaman Sheikh Dr Said Ramadhan al Buti. Aku menepuk dahi kehairanan akan tahap dewa sebuah rasa yakin diri bercakap Pak Ustaz!

PAS bukan pemain baru dalam politik negara ini, usianya sudah 74 tahun. Menggalang bantahan awam secara harmoni juga antara kepakaran PAS yang diakui oleh pihak keselamatan. Dalam denai sejarahnya, tahun 2018, orang Melayu Muslim digegerkan dengan usaha mengiktiraf ICERD oleh kerajaan PH dan bermulalah pelbagai usaha untuk merebakkan kesedaran umat Islam untuk bersatu dan mengukuhkan kekuatan ummah. PAS sebagai entiti parti pembangkang yang berpengalaman telah mengerahkan umat Melayu untuk berhimpun. Masa selama tiga bulan digunakan untuk mobilisasi awam dan tempoh yang sama digerakkan oleh pasukan mobilisasi PAS melaksanakan tugasan. 

Sebagaimana terbukti sebelum  ini maka 270,000 hingga 300,000 ahli PAS telah berhimpun seperti himpunan H355 di Padang Merbok dan sekitarnya dan FASTAQIM 2.0 di Pantai Tok Jembal.

Kejayaan himpunan bantah ICERD telah menatijahkan beberapa perkara dan menjadi bahan bualan peminat-peminat politik tanah air kerana inilah himpunan paling ramai semenjak negara mencapai kemerdekaan. Jauh mengatasi bantahan-bantahan awam sebelum ini termasuk himpunan reformasi 1998, BERSIH atau FASTAQIM.

Pertama, sebelum terbarainya Pakatan Rakyat (PR), himpunan mega sentiasa berjaya dan menarik minat masyarakat awam untuk menyertainya. PAS yang menjadi rakan komponen PR telah berjaya memobilisasi ahli-ahlinya turun berhimpun. 80 peratus peserta himpunan adalah ahli PAS, manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat sivil yang lain. PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya, dari peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan Wilayah Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat.

PAS bukan hanya hadir meramaikan himpunan tetapi membekalkan petugas keselamatan dan disiplin iaitu anggota Jabatan Amal yang sangat berdisiplin dan mempunyai dedikasi yang tinggi. PAS dengan pasukan khas medik yang bersiaga dengan elemen kecemasan, bahkan dengan ambulannya sendiri. Juga kumpulan pengamal undang-undang PAS yang mematai pergerakan ahli-ahli PAS agar mematuhi peraturan.

Uniknya lagi, ahli-ahli PAS hadir dalam himpunan, disertakan dengan niat untuk menderma pada penganjur bagi menampung kos himpunan.

Kedua, kejayaan himpunan bantah ICERD juga satu cerminan bahawa kerajaan PH tidak boleh memandang enteng suara dan nurani umat Islam di mana bangsa Melayu sebagai kaum teras di negara ini. Kerajaan PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti, berwibawa, kurang kompetensi untuk menyemai benih kerukunan negara.

Lihatlah pak Menteri yang selalu menjadi stok bahan ketawa rakyat di media sosial, ini bukan suatu contoh yang baik bagi masa depan negara. Zaman madani, trend ini berulang kembali serta memicu kemarahan rakyat!

Himpunan bernuansa penyatuan umat Islam ini berjaya menunjukkan kesepakatan dan diuruskan dengan baik oleh penganjur, bermula dengan solat Zuhur berjemaah, peserta-peserta di ketiga-tiga titik mula akhirnya bercantum di Dataran Merdeka dan sekitarnya.

Himpunan sejuta ummah  ini juga menjadi himpunan menampar ego dan maruah PH apabila telah berjaya menarik anak-anak muda untuk bersama bersolidariti atas nama Islam dan mempertahankan kontrak sosial. Ini kerana PH sentiasa yakin bahawa anak muda adalah segmen besar pengundi yang mengangkat mereka pada 9 Mei 2018. Lebih daripada 70 peratus adalah anak-anak muda pelbagai latar belakang. Bukan sahaja anak-anak muda aliran tarbawi dan tajnid tetapi anak-anak muda ranggi yang meminati genre muzik keras turut memeriahkan himpunan sejuta ummah ini.

Himpunan Turun Anwar juga akan berhujung dengan kesuksesan kerana pemilihan lokasi himpunan di tempat yang bersejarah dan ikonik. Di sinilah tempat utama perhimpunan utama negara semenjak mencapai kemerdekaan, merakam sejarah kebangkitan politik termasuk bantahan kaum pelajar pada 1974, reformasi 1998, BERSIH dan lain-lain perhimpunan.

Insya-Allah, himpunan 26 Julai ini bakal merakam sejarah negara, lelucon paling popular sehari dua ini ‘dah dapat seratus ringgit untuk tambang ke Himpunan Turun Anwar’ semakin galak di medsos.

Langit Kuala Lumpur pasti senyum Sabtu ini melihat kebangkitan rakyat yang bermaruah. Tiada keperluan untuk ditakuti peserta demonstrasi dengan acara mandi gas pemedih mata atau pancutan air kimia. Tiada kenderaan polis atau abang bomba yang akan dirosakkan oleh demonstran. Insya-Allah, segalanya aman dan harmoni kerana rakyat hanya mahu Perdana Menteri berundur kerana beliau terlalu gagal untuk menguruskan tanah leluhur yang Allah jadikan lumayan hasil bumi, subur tanahnya. Cukuplah dengan ungkapan muluk yang sentiasa meniti bibir, kami tidak perlukan orator penyihir kata tetapi kami rakyat perlukan pemimpin yang kompeten, berpiawaian tinggi, berakhlak, menepati janji-janji!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 25/7/2025

- Advertisement -