SUHAKAM: Perlu tangani segera isu rentan terpinggir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menegaskan bahawa Laporan Tahunan SUHAKAM bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi merupakan gambaran nyata keperitan rakyat, khususnya golongan rentan yang terus terpinggir daripada sistem perlindungan hak asasi menyeluruh.

- Advertisement -

Berucap dalam perbahasan di Dewan Rakyat petang ini, beliau telah menggariskan beberapa isu utama yang wajar diberikan perhatian segera oleh pihak kerajaan seperti kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

Ahmad Tarmizi menyifatkan isu ini sebagai ‘krisis tertangguh’ dengan lebih 12,000 permohonan kewarganegaraan belum diproses sehingga Jun 2024 menurut data KDN dan laporan UNICEF turut menyebut lebih 50,000 kanak-kanak tanpa dokumen sah, terutamanya di Sabah.

“Bagaimana pelaksanaan yang pertamanya ketetapan berhubung ‘stateless nurse of the determination procedure’ SDP yang dinyatakan oleh SUHAKAM sejak 2017 yang lalu dan juga bagaimana program ‘regular recession’ bersasar dengan syarat yang ketat bersama dengan UNICEF dan UNHCR.

“Saya juga mohon untuk bagaimana proses penggubalan Akta Pengesahan Identiti khusus bagi kanak-kanak yang tidak berdokumen ini,” ujarnya.

Beliau berkata, isu buruh paksa dan pekerja migran, 53 aduan buruh paksa pada tahun 2023, beliau menyeru agar kerajaan menggubal akta khusus berkaitan hak pekerja migran dan menubuhkan Tribunal Hak Pekerja Migran.

“Negara kita masih dalam senarai Tier 2 Watch List dalam laporan pemerdagangan manusia oleh Jabatan Negara AS. Ketelusan kontrak dan layanan tidak berperikemanusiaan masih berleluasa.

“Begitu juga dalam laporan Bank Dunia lebih 12.5 peratus tenaga kerja Malaysia adalah pekerja migran.

“Banyak isu-isu yang dibangkitkan dalam media-media berkenaan dengan pekerja-pekerja luar ini, ada yang didera dan tidak dibayar gaji lebih pada empat bulan oleh majikan-majikan,” tegas beliau.

Beliau juga mendesak kerajaan agar menjelaskan status sebenar Pelan Tindakan Kebangsaan dalam perlindungan hak asasi manusia, ‘NAPBHR’ yang sepatutnya dilancarkan sejak tahun 2021.

“Saya mencadangkan penubuhan tribunal hak pekerja migran di bawah mahkamah buruh, diteliti dan diperhalusi oleh pihak kerajaan dan mewajibkan pendaftaran digital dan sistem kontrak kerja standard melalui platform yang bersepadu,” tambah beliau.

Ahmad Tarmizi turut membangkitkan kelewatan pewartaan tanah adat, walaupun lebih 10 tahun laporan Inkuiri Nasional Orang Asli 2013 dibentangkan.

“Sebanyak 15 peratus komuniti Orang Asli masih tidak memiliki geran rasmi. Aduan terus diterima dari Kelantan, Perak, Pahang dan Sarawak berkenaan pencerobohan tanah oleh syarikat pembalakan,” ujarnya.

Beliau mencadangkan pewartaan automatik tanah adat dan penubuhan unit penyelesaian sengketa antara SUHAKAM, JAKOA dan kerajaan negeri.

“Jadi saya ingin bangkitkan kepada kerajaan mengapa tidak ada lagi pelaksanaan konsisten ‘Free Pay’ and ‘Inform Concern’ walaupun komitmen diberi dalam pelbagai forum antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap lebih 1.12 juta pekerja gig yang masih belum diiktiraf sebagai pekerja rasmi.

“Dalam laporan mengatakan hanya 55.4 lima peratus yang mencarum KWSP dan kurang 10 peratus dilindungi insurans PERKESO.

“Di kawasan saya, seorang penghantar makanan maut dalam kemalangan tahun lalu tanpa sebarang pampasan kerana diklasifikasikan sebagai kontraktor bebas,” dedahnya.

Beliau mencadangkan penggubalan Akta Perlindungan Pekerja Gig Nasional 2025 dan mewujudkan Dana Penstabil Pendapatan Gig daripada levi syarikat platform digital.

“Apakah status sebenar kerangka undang-undang perlindungan ekonomi yang kita janjikan, yang kerajaan janjikan di bawah RMK 12 yang lalu, bilakah nak dilaksanakan?

“Mengapa kerajaan tidak lagi membuat satu peraturan memaksa ataupun menetapkan dua platform seperti Grab dan Foodpanda, mendaftar semua pekerja di bawah sistem caruman yang wajib yang perlu kita lihat dengan teliti,” ujarnya.

Ahmad Tarmizi turut menyentuh masalah pelaksanaan undi pos bagi pengundi luar negara, yang menyaksikan hanya 63,000 daripada 129,000 permohonan berjaya menerima kertas undi semasa PRU15.

“Rakyat kita di Australia di UKM melaporkan kertas undi tiba selepas tarikh walaupun permohonan dibuat lebih awal. Jadi persoalan ini penting kepada kerajaan bagaimana sistem e undi pos luar negara akan dikenakan sepertimana diamalkan di beberapa buah negara yang lain.

“Dan bagaimana langkah pembaikan bagi memastikan akses pengundi luar negara lebih telus dan terjamin.

“Sudah pastilah pilihan raya elektronik luar negara menggunakan sistem EID dengan pemantauan bersama SPR dan SUHAKAM itu sendiri perlu dilihat dengan serius dan penambahan prosedur undi pos dengan integrasi bersama Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Merujuk kepada 38 kematian dalam tahanan pada tahun 2023, beliau menggesa kerajaan agar melaksanakan surat pekeliling pencegahan penyeksaan dengan berkesan dan meratifikasi Optional Protocol to the Convention Against Torture (OPCAT).

“Saya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Penahanan dan Kematian Dalam Lokap sebagai langkah memastikan hak asasi manusia banduan tidak dicabul,” katanya mengakhiri perbahasan. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -