Beri perhatian serius kes mati dalam tahanan dan buli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi perhatian serius terhadap kelemahan pengurusan pusat tahanan dan isu buli membabitkan pelajar sekolah, seperti didedahkan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan kes semasa.

Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, laporan SUHAKAM menunjukkan keadaan tempat tahanan di negara ini berada pada tahap membimbangkan dengan pelbagai kelemahan ketara yang menjejaskan hak asasi tahanan.

“Antara yang dibangkitkan ialah keadaan fizikal lokap dan penjara yang sesak dan tidak selamat, akses kesihatan yang sangat terhad serta ketiadaan akses segera kepada bantuan guaman.

“SUHAKAM juga menerima aduan berkaitan penderaan fizikal dan layanan tidak berperikemanusiaan oleh anggota penguat kuasa,” ujarnya.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau turut meminta agar satu siasatan dijalankan terhadap kes kematian banduan di Penjara Taiping yang berlaku pada Januari lalu.

Dalam masa sama, beliau menarik perhatian Dewan mengenai satu kes buli membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Papar, Sabah, yang berakhir dengan tragedi menyayat hati.

“(Kes) ini genap seminggu pada 17 Julai yang lalu, Zara Qairina binti Mahathir yang berumur 13 tahun. Saya baca kenyataan ibunya sangat menyayat hati cara kematiannya yang terjun daripada bangunan tingkat tiga disyaki dia dibuli,” dedahnya.

Beliau menggesa agar siasatan penuh dijalankan dan tindakan tegas diambil, bukan sekadar mendengar kes seumpama itu dan membiarkannya berlalu begitu sahaja. – HARAKAHDAILY 24/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -